Kecuaian di TASKA ranap pembinaan generasi

TERLALU kerap berita berhubung penderaan kanak-kanak dan bayi di TASKA dilaporkan di media massa.

Advertisement

Tindakan penderaan ini dilakukan oleh pengasuh persendirian atau yang dilantik oleh pengusaha-pengusaha TASKA. Apabila berlaku kematian bayi atau penderaan kanak-kanak, tindakan yang diambil hanyalah tindakan jenayah kepada pelaku sahaja.

Pengusaha TASKA sebenarnya mempunyai liabiliti yang sama berat untuk ditanggung sekiranya mereka cuai dalam pemilihan pengasuh yang berkredibiliti.

Pengusaha atau pemilik TASKA mempunyai tanggungjawab memilih pekerja atau pembantu atau penjaga kanak kanak yang memiliki kriteria berikut;

1)     Memiliki Sijil Kursus Asuhan Kanak-kanak.

2)     Tidak mempunyai masalah mental dan emosi.

3)     Tiada rekod jenayah.

4)     Pengasih, penyayang dan penyabar dengan kanak kanak.

Dalam erti kata lain, pemilik TASKA mempunyai tanggungjawab kontrak dan fiduciary untuk tapis, temu duga dan selidik latar belakang pekerja masing-masing untuk menjaga kanak-kanak serta bayi yang diamanahkan oleh ibu bapa.

Bukan sekadar membuka taman asuhan kanak-kanak kerana untungnya yang berlipat ganda hingga ada pengusaha yang berjaya membuka 5 buah cawangan TASKA tetapi tidak mampu menguruskannya dengan baik. Lebih malang lagi, ada juga TASKA hanya menyerahkan kepada pekerja Indonesia untuk diuruskan. Pemilik dan pengusaha TASKA tidak boleh cuci tangan dengan sekadar membuat laporan polis ke atas pekerja mereka.

Pekerja TASKA sepatutnya di bawah pengawasan terus majikan. Bukannya sekadar di bawah pengawasan CCTV. Membiarkan kanak-kanak atau bayi didera tanpa pengawasan seorang pengurus seperti pemilik sendiri atau rakan kongsi adalah satu tindakan yang cuai.

Sebarang tindakan oleh petugas TASKA yang melanggar etika dan tugas serta peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian adalah perlanggaran dan kesalahan bersama yang perlu ditanggung oleh pemilik atau pengusaha TASKA.

Adalah disarankan supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat memantau penubuhan TASKA dengan lebih ketat terutama penubuhan cawangan-cawangannya. Audit ke atas TASKA-TASKA ini perlu teliti dan ketat. Laporan Audit perlu dijadikan sebagai dokumen terbuka supaya ibu bapa dapat menilai prestasi TASKA sebelum menghantar anak-anak mereka ke TASKS-TASKA terbabit.

“Bolehkah ibu bapa mengemuka tuntutan Sivil ke atas pengusaha TASKA yang cuai?”

Ya, sekiranya terbukti kecederaan fizikal, emosi dan mental telah dilakukan ke atas kanak-kanak atau bayi terbabit.

NURHIDAYATY MAIDIN
Peguambela & Peguamcara
Ahli Jawatankuasa Muslimat Legal Team (MUSLET)
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/8/2018