Kesultanan Demak: Peranan Wali Songo

PERANAN Wali Songo dalam sejarah perkembangan Islam di Jawa adalah suatu hakikat yang tidak dapat ditolak lagi. Walaupun catatan sejarah tentangnya yang terdapat di dalam kronik-kronik Jawa begitu bersimpang-siur, namun hakikat kewujudan dan peranannya adalah suatu hal yang jelas. Tinggal lagi kerana corak penulisan sejarah dalam kronik-kronik itu tidak mengikut disiplin penulisan ilmiah dan terlalu membesarkan kesaktian tokoh-tokohnya, maka nilai sejarahnya terjejas. Namun begitu, sama ada berdasarkan riwayat lisan, penulisan kronik atau catatan prasasti, jelas menunjukkan bahawa Wali Songo telah membawa perubahan besar terhadap kehidupan beragama masyarakat Jawa. Sebelum ini mereka pernah beragama Buddha, sebelum berdirinya Kerajaan Majapahit pada 1292M yang beragama Hindu. Perubahan agama ini kemudiannya membawa kepada perubahan politik, apabila Kerajaan Hindu ini jatuh dan digantikan oleh Kerajaan Islam Demak pada 1478M. Pemain utama yang mencaturkan pergerakan dakwah dan politik ini ialah para ulamak yang bergerak dalam Majlis Dakwah Wali Songo sejak 1404M.

Advertisement

Wali Songo, satu institusi yang sebenarnya wujud kesan daripada kesedaran Kerajaan-kerajaan Islam di Asia Barat dan India untuk meng-Islamkan Pulau Jawa dan seterusnya, Nusantara. Dengan dukungan Kerajaan Samudera-Pasai dan Melaka, pada 1404M, telah ditubuhkan Majlis Dakwah Wali Songo dengan Maulana Malik Ibrahim (m. 1419M) sebagai pelopor yang pertama. Beliau tiba di Jawa dari Champa pada 1392M (801H). Kemudian dengan tertubuhnya Majlis Dakwah Wali Songo yang dianggotai sembilan orang ulamak, mereka menyebarkan Islam dengan bermula di Gerisik (Kerisik) di Jawa Timur. Dakwah mereka bergerak di Jawa setelah kematian Mangkubumi Patih Gajah Mada (m. 1365M) dan Kerajaan Majapahit dalam keadaan kecacauan selepas tercetusnya Perang Paregreg (1404-1406M). Kelemahan yang dihadapi oleh Majapahit membuka ruang untuk Islam bangkit dan menjadi kuasa politik dalam tempoh 50 tahun selepas Perang Paregreg.

Wali Songo: Pergerakan sepanjang abad ke-15M

Menurut Kanzul Ulum, pemimpin Daulah Othmaniyah, Sultan Muhammad I Celebi (1379-1421M), telah mengarahkan supaya gerakan dakwah dilancarkan terhadap Pulau Jawa untuk mengatasi pengaruh dua Kerajaan Hindu, Majapahit dan Padjajaran. Atas sebab itu, Maulana Malik Ibrahim yang berasal dari Wilayah Othmaniyah telah dihantar ke Jawa pada 1392M melalui India, kemudian ke Pasai, Champa dan Pattani, sebelum ke Jawa, serta menubuhkan Majlis Dakwah Wali Songo pada 1404M. Majlis ini dianggotai oleh:

●    Maulana Malik Ibrahim (m. 1419M) dari Turki,

●    Maulana Muhammad Ishak dari Samarkand,

●    Maulana Jamadil Kubra (m. 1453M),

●    Maulana Muhammad Maghribi dari Moroko,

●    Maulana Malik Israel (m. 1435M) dari Turki,

●    Maulana Muhammad Ali Akbar (m. 1435M) dari Parsi,

●    Maulana Hassanuddin (m. 1462M) dari Palestin,

●   Maulana Aliyuddin (m. 1462M) dari Palestin, dan

●    Sheikh Subakir dari Parsi.

Ulamak lain yang turut terlibat dalam Majlis Dakwah Wali Songo sepanjang abad ke-15M ialah Raden Ahmad Ali Rahmatullah (Sunan Ampel) dari Champa, Sayyid Jaafar Sadiq dari Palestin, Syarif Hidayatullah dari Palestin, Raden Paku (Maulana Ainul Yakin) dari Blambangan, Jawa Timur, Raden Syahid (Sunan Kalijaga) dari Tuban, Jawa Timur, Raden Makhdum Ibrahim (Sunan Bonang) dari Surabaya, Raden Qassim (Sunan Derajat) dari Surabaya, Raden Hassan (Raden Patah), Fathullah Khan, Raden Muria (Sunan Muria), Sheikh Siti Jenar dan Pandanarang (Sunan Tembayat). Mereka menggantikan wali-wali sebelumnya yang wafat atau pulang ke negeri asal mereka pada tahun-tahun 1421M, 1436M, 1463M dan 1466M.

Pergerakan Wali Songo pada peringkat awal tidak mengkhusus wilayahnya, tetapi mulai 1421M, mereka membahagikan kawasan dakwah kepada Jawa Timur, Jawa Tengah dan Jawa Barat dengan setiap kawasan ditugaskan kepada tiga orang wali. Antara langkah Wali Songo ialah menubuhkan pusat-pusat pengajian Islam (pondok atau pesantren) bermula di Gerisik oleh Maulana Malik Ibrahim, sebelum Sunan Ampel, Sunan Giri dan lain-lain turut berbuat demikian. Selain menubuhkan pesantren, para Wali Songo turut membina masjid, berdakwah kepada masyarakat Hindu, termasuk tindakan Maulana Malik Ibrahim berdakwah kepada Raja Majapahit, Wikrama Wardhana (1386-1429M). Melalui bidang perubatan, seni dan budaya, pendidikan, perdagangan dan sebagainya, para Wali Songo meluaskan pengaruh Islam. Pernikahan para wali ini dengan anak-anak Raja dan pengeran juga menjadi faktor besar perkembangan Islam di Jawa.

Pembentukan kader-kader politik Wali Songo

Kejayaan Maulana Malik Ibrahim dan Sunan Ampel yang masing-masing menubuhkan pesantren di Gerisik dan Ampeldenta telah berhasil melahirkan kader-kader dakwah dan politik yang kemudiannya berjaya mengubah Jawa menjadi Wilayah Islam. Antara tokoh-tokoh pendakwah yang lahir dalam asuhan Sunan Ampel ialah Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Derajat, Sunan Kalijaga, Sunan Muria, Sunan Kota (Raden Patah), Sunan Kudus dan Sunan Gunung Jati. Mereka kemudiannya menjadi tokoh-tokoh agama termasuk sebagai Mufti, dan ada yang bertebaran membuka pesantren di tempat masing-masing dan mengirimkan pendakwah ke seluruh Nusantara. Dakwah Islam bukan sahaja membiak di Jawa, tetapi juga di Palembang, Maluku, Kalimantan, Nusa Tenggara dan Makassar. Pengaruh Sunan Giri misalnya telah menyebabkan Islamnya Kutai, Makassar dan Nusa Tenggara.

Perkaderan politik adalah satu aspek yang lebih penting, terutama dalam konteks pembentukan Daulah Islam di Jawa. Walaupun usaha awal Maulana Malik Ibrahim untuk meng-Islamkan Raja Majapahit telah gagal, namun keterbukaan sikap Prabu Brawijaya V telah membolehkan pengaruh Islam menyerap dalam kraton (istana) Majapahit. Pada peringkat awal, dakwah ke kraton Majapahit ini berlaku melalui perkahwinan Prabu Brawijaya V dengan puteri Raja Champa yang beragama Islam, kemudian Sunan Ampel berjaya meng-Islamkan Arya Darma, putera Prabu Brawijaya V yang menjadi Adipati Palembang. Arya Darma yang diberi nama Jaka Abdillah (Jaka Dillah), telah meng-Islamkan adiknya, Jimbun yang kemudiannya dikenali sebagai Raden Patah. Raden Patah dibawa ke Ampel untuk mendalami ilmu agama sehingga menjadi seorang ulamak yang digelar Sunan Kota. Raden Patah kemudian dilantik sebagai Adapati Bintoro (Demak) oleh ayahnya, Prabu Brawijaya V. Beberapa saudaranya yang beragama Islam turut dilantik sebagai adipati di Ponorogo, Pamadegan dan Lumajang. Keadaan ini memudahkan perluasan pengaruh Islam. Bahkan, turut dikaderkan ialah Sunan Giri yang disebut-sebut mengasaskan Giri Kedaton iaitu sebuah Kerajaan Islam di Gunung Giri.

Penegakkan daulah di Jawa: Berdirinya Kerajaan Demak

Dalam tradisi Jawa, Raden Patah disebutkan sebagai pendiri Kerajaan Demak, sekali gus adalah pewaris sah Majapahit. Setelah memeluk Islam, beliau belajar di Ampeldenta, sebelum membuka pesantren di Demak Bintoro atas arahan gurunya, Sunan Ampel. Setelah Girindra Wardhana, pewaris Singhasari berjaya menjatuhkan Prabu Brawijaya V di Trowulan pada 1478M, Raden Patah telah bertindak mendirikan Kerajaan Demak di Bintoro. Antara tokoh utama dalam pembentukan Kerajaan Demak ini ialah Sunan Giri, sedangkan Sjamsudduha dalam kajiannya mengatakan 13 orang wali terlibat dalam pengangkatan Raden Patah, iaitu Sunan Bonang, Sunan Giri, Sunan Kalijaga, Sunan Derajat, Sunan Gunung Jati, Sunan Muria, Sunan Kudus, Sunan Wilis, Sunan Mayoran, Sunan Demak, Sunan Ngudung, Sunan Mulya dan Sunan Kertayasa. Di sinilah diperlihatkan dukungan padu para ulamak dalam pembentukan Kerajaan Demak.

Rachmad Abdullah dalam analisisnya yang berkongsi pendapat dengan Tome Pires, mengatakan kejayaan pembentukan Kerajaan Demak disebabkan dua faktor. Pertama, kerana Islamnya bangsawan Jawa terutama di kalangan adipati termasuk di Tuban, Ponorogo dan Pamekasan-Madura. Mereka mendukung usaha para ulamak menubuhkan Kerajaan Islam yang dipimpin oleh ulamak juga iaitu Sunan Kota (Raden Patah). Kedua, orang-orang luar yang telah beragama Islam dan membuat perkampungan di Jawa telah bertindak mempertahankan Demak dari serangan musuh. Mereka ialah para wali yang membentuk Majlis Dakwah Wali Songo sejak 1404M. Sebenarnya telah berlaku jihad fi sabilillah dalam pendirian Kerajaan Demak, terutama dalam menghadapi Girindra Wardhana yang merampas Kerajaan Majapahit. Penglibatan Sunan Bonang, Sunan Giri dan Sunan Kudus dalam gerakan jihad ini dirakamkan oleh banyak penulis. Peranan para ulamak dalam pelbagai aspek di Jawa ini, bukan sahaja telah melebarluaskan pengaruh Islam, tetapi juga telah membawa kepada berdirinya Kerajaan Islam di Demak.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
11 Zulqaedah 1439 / 25 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 16/8/2018