Penamaan calon PRK Seri Setia lancar

PETALING JAYA: Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dun Seri Setia yang melibatkan calon PAS berjalan lancar, pagi ini.

Advertisement

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man membaca doa sebelum perarakan. Beliau juga mengetuai perarakan dari Bangunan Mybank menuju Pusat Penamaan Calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Hampir 500 penyokong daripada PAS dan Umno berarak menuju ke pusat penamaan calon kira-kira jam 8.30 pagi diselangi dengan selawat.

Dr Halimah bersama penyokong PAS dan Umno mula memasuki dewan pusat penamaan calon jam 8.45 pagi diiringi dengan laungan takbir daripada penyokong.

Pengurus Pilihan Raya Dun Seri Setia, Mohd Azizi Moh Zin mengumumkan penyerahan borang calon pada jam 8.59 pagi.

Turut mengiringi Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad dan dan Dato’ Iskandar A Samad, Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukyi, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Rosli Adam, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Wan Haslina Wan Hassan, pimpinan negeri dan kawasan.

Penamaan calon PAS kali ini berada dalam suasana berlainan daripada sebelum ini. Ini kerana pimpinan dan penyokong Umno turut serta memberi sokongan kepada calon PAS, Dr Halimah Ali.

Antara pimpinan Umno yang hadir, Naib Presiden yang juga Pengerusi Perhubungan negeri, Dato’ Ismail Sabri Yaakob, Ketua Penerangan, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Wanita, Dato’ Dr Noraini Ahmad. – HARAKAHDAILY 18/8/2018