Bukan kali pertama PAS, Umno, MCA, MIC bersama

PETALING JAYA: Walaupun berbeza fahaman dan pendekatan, namun PAS sedia bersama sesiapa sahaja dalam menghadapi masalah yang besar, demikian menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

“Sebenarnya ini bukan kali yang pertama PAS berdiri satu pentas dengan Umno. Mereka yang membaca sejarah politik tanah air sejak awal perjuangan kemerdekaan, menyaksikan bagaimana ada masa kami berbalah, ada masa kami berhenti dan duduk satu pentas.

“Ketika memperjuangkan kemerdekaan, pilihan raya yang pertama, pra-kemerdekaan tahun 1955. Masa itu parti politik yang ada ialah Umno, MCA, MIC dan PAS, Parti Negara. Kami bertanding pilihan raya. PH belum ada benih lagi. Tak ada lagi benih di dunia ini.

“PAS menang satu kerusi sebagai pembangkang. Perikatan menang 51 kerusi. Tetapi apabila berlakunya desakan untuk kemerdekaan, tahun 1957, PAS berdiri satu pentas dengan Umno dalam perhimpunan di Melaka, negeri yang pertama di Semenanjung dipijak oleh penjajah.

“Himpunan menuntut kemerdekaan. Kita berdiri bersama. Dr Burhanuddin al-Helmi menyampaikan ucapan dengan pantun di masa itu,” ujarnya mengimbau detik itu di PPRT Lembah Subang, di sini semalam.

Lanjut beliau lagi, apabila British mengadakan Suruhanjaya Reid untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, PAS dan Umno, MCA, MIC, Raja-raja Melayu, bersama mendesak diletakkan beberapa perkara.

Antara penting jelasnya ialah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, agama-agama lain diberi hak kebebasan untuk dianut dan diamalkan di mana perkara itu adalah natijah kerjasama tersebut.

Begitu juga terangnya, PAS bersama dengan pihak-pihak tersebut dalam banyak hal lain yang penting melibatkan Perlembagaan Persekutuan yang dipertahankan hari ini walaupun berbeza pendekatan.

“Kali kedua PAS satu pentas dengan Umno selepas peristiwa 13 Mei 1969. Berlaku ketegangan kaum, pergaduhan kaum di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan lain-lain. Negara dalam keadaan darurat.

“Orang yang pertama berdiri di pentas PAS ialah Tun Mahathir Perdana Menteri ketika PRK di Kapar Selangor. Tun Mahathir berucap di atas pentas PAS.

Dan berlakunya persefahaman Kerajaan Campuran, dirungkaikan Perikatan, ditubuhkan Barisan Nasional untuk menyelamatkan negara selepas Krisis 13 Mei. Ini kali yang kedua.

“Kemudian kita berbeza pendapat. PAS jadi pembangkang walaupun masa pembangkang PAS menghadapi macam-macam. Namun kita berbeza ada batas, ada sempadan,” imbas beliau.

Kata Tuan Guru, kali ini sekali lagi PAS berada satu pentas dengan Umno, MCA dan MIC sempena PRK N.32 Dun Seri Setia untuk mengajak rakyat melakukan perubahan membetulkan semula langkah yang silap.

Beliau merujuk perkara tersebut sebagai kesilapan mengundi pada PRU lalu serta masalah-masalah terhasil dari pemerintahan BN yang kini tidak dapat diatasi juga PH, selain ketidakseimbangan dan kekalutan Kerajaan PH.

“Bila kita tahu salah, kita kena undur balik, perbetulkan. Ini peluang untuk membetulkan. Alhamdulillah, parti-parti politik yang terlibat dengan perjuangan kemerdekaan, yang merasa penat dan lelah, sepanjang 60 tahun, selepas kemerdekaan, berdiri di atas pentas untuk membuat pembetulan ini.

“Beri peluang kepada kita, undi bulan pilihan raya ini untuk membuat satu penentuan yang baik insyaAllah,” ujarnya terdahulu memetik kata-kata Saiyidina Umar al-Khattab supaya kembali kepada kebenaran dari berterusan dalam kebatilan. – HARAKAHDAILY 20/8/2018