Disebalik tirai 100 hari Kerajaan PAS T’ganu

ALHAMDULILLAH segala puji dan syukur kepada Allah atas kurniaNya kepada rakyat Terengganu, kemenangan Parti Islam Semalaysia (PAS) mengambil alih tampuk pemerintahan negeri setelah bertungkus lumus selama 14 tahun bagi memenangi kembali hati rakyat Terengganu selepas kekalahan pada tahun 2004. Apapun, tiada gunanya kemenangan jika ianya gagal diisi dengan pengisian yang selari dengan kehendak Allah. Ianya juga menandakan bahawa rakyat Terengganu semakin cerdik berpolitik, sememangnya menginginkan manifesto-manifesto yang dijanjikan, dipenuhi, walau siapa dan dari parti manapun mereka.

Advertisement

Saya cuba memberikan gambaran ringkas kerja-kerja oleh saf kepimpinan Kerajaan Terengganu yang diketuai oleh YAB Menteri Besar Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar. Selain itu ada juga cerita belakang tabir yang tidak diketahui rakyat yang saya akan sampaikan demi memberikan gambaran sebenar kepada rakyat tentang apa yang telah, sedang dan akan dilaksanakan demi rakyat Terengganu. Harus diingat, manifesto PAS Terengganu tidak pernah menyebut secara khusus dalam tempoh berapa lamakah ia akan dilaksanakan. Tetapi pastinya sebelum penggal ke-14 ini berakhir. Pastinya janji manifesto ini sangat realistik. Juga sebagai maklumat tambahan, akan ada beberapa portfolio yang akan duduk bersama bagi kelancaran perlaksanaan manifesto-manifesto itu. Jadi ia akan dilihat bertindih tetapi mempunyai fungsi yang berbeza. Dan apa yang mesti disematkan dalam minda semua ialah Kerajaan PAS Terengganu mengamalkan Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) iaitu mendahului kepentingan rakyat yang akan mengekalkan dan menambah baik apa-apa yang baik tinggal kerajaan terdahulu dan mengenepikan apa-apa yang tidak baik.

Saya mulakan dengan YAB Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mohkhtar yang memegang portfolio Perancang, Kewangan, Pelaburan, Tanah dan Sumber Asli. Manifesto yang dijanjikan iaitu mengembalikan semula tanah-tanah rakyat yang telah dirampas kerajaan terdahulu ketika peralihan kuasa tahun 2004, telah dilaksanakan dan diberi pujian kawan dan lawan. Beliau juga memberikan kelonggaran bagi pemilik tanah melewatkan bayaran cukai sehingga Oktober ini. Permohonan bagi mendapatkan tapak rumah juga telah dibuka bagi yang layak. Bonus Raya yang ditunggu-tunggu dengan penuh debar oleh kakitangan kerajaan tempohari kerana bimbang Kerajaan Negeri keputusan wang kerana ianya hampir habis digunakan oleh pentadbiran terdahulu, akhirnya diterima sebelum Aidilfitri. Isu royalti yang menjadi duri dalam daging kepada pentadbiran Kerajaan Negeri sejak dua dekad lalu juga hampir diselesaikan, selepas pertemuan dengan Perdana Menteri. Usaha bagi menjadi negeri pengeluar silika juga giat dilaksanakan sekaligus bakal membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.

YB Ustaz Satiful Bahari Mamat, memegang amanah sebagai Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi. Antara janji-janji PAS dalam bidang pendidikan ialah mahu menyediakan sebuah sekolah rendah Islam di setiap Dun dan sebuah sekolah menengah Islam bagi setiap parlimen. Memandangkan sistem pendidikan memerlukan sedikit masa jika mahu dibina infrastruktur yang baharu, maka beliau memutuskan untuk menggunakan prasarana-prasarana yang telah sedia ada bagi menjimatkan kos permulaan. Tempat-tempat seperti Taman Ilmu yang terbengkalai itu juga telah dilawati beliau bagi melihat sejauh mana kebolehgunaan bangunan itu. Pelan tindakan sudah ada, insyaAllah pada tahun 2019 ini, sekolah pertama akan dirasmikan. Manakala dalam hal berkaitan dengan dakwah, beliau menumpukan kepada kefahaman rakyat kepada perlaksanaan syariah. Pastinya usaha kefahaman ini tiada penghujungnya.

Mengetuai Portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak telah melaksanakan manifesto mengecualikan cukai pintu kediaman. Dan untuk menunaikan manifesto itu, Kerajaan Negeri akan membayar jutaan ringgit kepada Majlis Bandaraya dan Majlis-Majlis Daerah yang lain. Hospital baharu turut menjadi perkara penting yang sedang diberi penekanan. Tiga buah hospital iaitu Unisza, Dungun dan juga Kemaman, dijangka akan memberikan lebih keselesaan kepada pesakit, sedang diusahakan agar segera direalisasikan setelah bertahun-tahun dijanjikan pemerintah terdahulu.

Berkaitan dengan kemasukan ke wad-3 secara percuma, insyaAllah ianya hanya menanti detik untuk penguatkuasaannya sahaja, sebaik selesai beberapa isu lagi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan anggaran belanja oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM5 juta setahun. Bagi membina kira-kira 1000 buah pertama rumah mampu milik, perancangannya dengan empat projek pertama akan dimulakan hujung tahun ini. Sasaran keseluruhan ialah 20 ribu buah sehingga tamat penggal ini. Bukan itu sahaja, 234 orang pembeli yang menghadapi masalah perumahan terbengkalai di Padang Setengga, Kuala Berang, melewati 10 tahun turut ditinjau dan beliau akan menyelesaikan mengikut lunas-lunas perundangan.

Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri pula telah memulakan usaha-usaha bagi membina insan sebagai satu aset penting negeri. Pengerusinya YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dalam langkah awalnya telah menubuhkan jawatankuasa bertindak bagi memenuhi manifesto portfolio beliau bagi membina pusat pemulihan dadah secara holistik dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Beliau juga memperkenalkan Program Madinah Ramadhan yang mensasarkan bukan sahaja ibadat tetapi juga membantu memajukan perniagaan rakyat yang berdekatan dengan tempat program. Taman Tamadun Islam (TTI) bakal menjadi Akademi Dakwah di negeri ini dan pertemuan dengan wakil TTI sudahpun berlaku. Manakala bagi memastikan agar masjid-masjid tidak lagi ada masalah ketiadaan pengajar, beliau sudah berbincang dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi penyelesaian terbaik.

InsyaAllah akhir Ogos ini, pertemuan dengan golongan mak nyah yang ingin keluar daripada dunia gelap mereka akan berlangsung kali kedua. Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) diperkemaskan menggantikan Unit Komunikasi (UKOM) dan sedang rancak menjalankan kerja-kerja menerang pencapaian dan rancangan-rancangan baharu Kerajaan Negeri. Satu lagi nadi portfolio beliau, Institut Modal Insan Sejahtera (i-MITS) ditugaskan bagi memantapkan penyebaran dakwah dan penerangan sehingga ke peringkat paling bawah. Stesen Radio Manis F.M yang berada di bawah portfolio beliau juga akan diberikan kekuatan baharu, bukan sahaja akan dimanafaatkan oleh Terengganu, tetapi juga Kelantan insyaAllah.

Seorang Exco yang erring turun padang bersama pegawai jabatan dan agensi yang berada dibawah portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim. Tujuan beliau membawa wakil-wakil itu adalah bagi memberikan ruang seluasnya kepada rakyat agar dapat berinteraksi secara langsung, berbincang tentang peluang atau halangan yang ada dalam agenda untuk memajukan sector pertanian Negeri Terengganu, sekaligus meruntuhkan halangan birokrasi antara rakyat, pegawai dan pimpinan Kerajaan negeri. Petani-petani kampung pastinya tidak mudah melangkahkan kaki mereka ke pejabat Exco atau Jabatan Pertanian. Setakat ini sudah lima Dun dijelajah beliau bersama pasukannya iaitu Jabi, Batu Burok, Kerteh, Pengkalan Berangan dan Bukit Payong bagi memberi penerangan tentang peluang dan bantuan daripada kerajaan kepada rakyat terutama muda-mudi dengan semuanya mendapat sambutan yang hangat.

Dalam masa yang sama, beliau juga telah menjelajah ke seluruh negeri bagi mengenal pasti punca-punca kegagalan projek-projek pertanian terdahulu supaya tindakan pemulihan dapat diambil. Pengarah Jabatan berkaitan diarahkan menyediakan kertas putih pelan bagi pemulihan projek-projek gagal dengan segera. Masalah lain seperti kemudahan infrastruktur di pelabuhan dan kompleks perikanan, turut diintai beliau. Beliau juga meluluskan kos menaikkan bot karam nelayan di Pulau Duyung. Semua rancangan dan tindakan sedang berjalan, bukan sekadar sembang. Perkataan pertanian tiada ditulis secara khusus dalam Manifesto PRU 14 PAS Terengganu, tetapi seperti pemberian air percuma kepada golongan miskin, 20 ribu peluang pekerjaan dalam masa empat tahun dan mengembalikan semula tanah-tanah yang dirampas dan pemberian tanah-tanah baharu, mesti melibatkan portfolio beliau sebagai pelengkapnya.

Tokoh berpengalaman dalam urusan pentadbiran negeri, YB Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar pula ditaklifkan menjaga portfolio Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran. Untuk tugasan beliau yang melibatkan manifesto, pertama ialah pelaburan Lembah Silika di Jambu Bongkok, dijangka akan menyediakan sebanyak 7600 peluang pekerjaan. Kedua, membuka peluang pekerjaan di kawasan-kawasan industri dan usaha bagi kedua-duanya sedang berlangsung. Dalam tugasan perdagangan dan industri pula, beberapa kilang terpilih yang dahulunya rugi atau ditutup yang dilihat sangat besar potensinya seperti Perwaja Steel, bakal diambilalih oleh pelabur baharu dan Eastern Steel akan dibuka semula.

Beliau juga telah selesai membantu pengagihan dana raya telah diperluaskan kepada lebih ramai penama, perlantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlantikan penuh pertama bagi negeri-negeri yang mendapat kerajaan baharu, perlantikan kakitangan i-MITS, perlantikan kakitangan UPDI dan perlantikan Ahli Lembaga Pengarah bagi anak syarikat Kerajaan Negeri. Menyiapkan semua organisasi ini sangat penting terutama bagi melancarkan perjalanan pentadbiran. Dan beliau sebagai bekas Pegawai Kewangan Negeri, sememangnya layak bagi tugasan ini.

Bagi YB Ustaz Ariffin Deraman, Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat yang diketuai beliau, telah mengadakan beberapa siri perbincangan bagi meluaskan lagi potensi Terengganu sebagai destinasi pelancongan. Antara perkara terawal yang dilakukan beliau ialah melihat sendiri keupayaan bas dua alam yang menjadi isu hangat sebelum PRU lalu. Ianya terpaksa disimpan kerana masalah teknikal.

Kawasan Bebas Cukai Kenyir, Zoo Kemaman dilawati beliau dan keputusannya ialah Kerajaan Negeri terpaksa menyiapkan kompleks itu kerana ia sudah hampir siap dan belanja yang sudah dikeluarkan adalah ratusan juta ringgit. Beberapa buah pulau turut ditinjau beliau dan terbaharu, Pulau Bidong dilihat sebagai berkeupayaan untuk dimajukan. Ia akan menjadi antara agenda beliau untuk diteruskan perancangan membangunkannya. Akan tetapi kesemua hal yang melibatkan pelancongan ini akan diteraskan kepada apa yang ditekankan sebagai “Mesra Muslim”. Bengkel garis panduan bagi mencapai hasrat ini telah diadakan dengan disertai ahli akademik, penggiat budaya dan sejarah. Bagi menambah daya saing Teknologi Maklumat pula, beliau menumpukan untuk mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar dengan mengkaji semula peranan EIO dan Pusat Bestari.

YB Haji Hanafiah Mat, yang bertanggungjawab dengan portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional sudah menyelesaikan dua manifestonya iaitu Perkahwinan Perdana yang sekarang akan berlangsung untuk kali kedua dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak bagi setiap agensi kerajaan. Selain itu, bagi ibu tunggal dan juga bapa tunggal yang mahu berkahwin baru-baru ini, diberikan saguhati. Malah Dana Raya yang ramai orang menganggap Kerajaan Negeri akan gagal mengagihkannya kerana faktor kewangan, berjaya diberikan dan dibuka pula kepada lebih ramai penerima yang layak yang dipinggirkan oleh kerajaan terdahulu. Pada tahun hadapan insyaAllah manifesto pencen kepada pesara yang layak sebanyak RM50 sebulan akan dilaksanakan, menurut sumber pejabat beliau.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, YB Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah pula sedang bertungkus lumus menyiapkan rancangan portfolio beliau untuk memberikan bantuan sebanyak RM400 bagi belia yang mahu mengambil lesen motor. Beliau juga sedang sibuk meneliti perkembangan pasukan Sukma Terengganu yang mensasarkan juara keseluruhan September nanti. Bagi tugasan beliau yang melibatkan NGO, satu majlis yang dinamakan sebagai Majlis Perundingan NGO, mewakili semua kluster bakal diwujudkan. Ia akan menjadi penasihat, mata, telinga dan juga pendukung aspirasi kepada kerajaan untuk mencapai tujuan menjadikan Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera.

Manifesto bagi pemberian air 20m3 pertama secara percuma kepada rakyat miskin Terengganu yang layak adalah dibawah bidang kuasa Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau yang dipengerusikan oleh YB Dr Mamad Puteh, sedang berjalan. Pemberian ini berbeza dengan yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu kerana dahulu diberi percuma JIKA kurang 20m3 DAN untuk semua rakyat. Jika melebihi 20m3, ia mesti dibayar penuh, tiada lagi percuma. Ianya juga terkadang tidak mencapai matlamat membantu golongan miskin.

Tetapi skim sekarang, hanya mereka yang miskin sahaja yang layak dan jika melebihi 20m3 sekalipun, ia hanya dikira pada kiraan meter bermula (21m3) iaitu yang wajib dibayar hanyalah 1m3 dan begitulah seterusnya. Bagi 834 buah masjid dan surau yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri, kesemuanya menerima 50m3 air percuma daripada Kerajaan Negeri. Isu Pasar Kuala Berang juga mendapat perhatian dan tindakan beliau dengan menyelesaikan masalah seperti najis burung yang diadukan oleh peniaga-peniaga. Selain, beliau sekarang memberikan lebih perhatian mengkhususkan kepada projek-projek kerajaan sebelum ini agar semuanya berjalan baik.

YB Haji Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman yang diamanahkan memegang urusan Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja telah mengisytiharkan Hari Keusahawanan yang turut ada didalamnya klinik bagi usahawan baharu di setiap daerah bertujuan memberi penerangan dan maklumat apa yang terbaik kepada usahawan melalui agensi-agensi di bawah beliau. Ianya telah dimulakan di Besut dan Kuala Nerus baru-baru ini. Tidak terhenti setakat itu, beliau juga telah mengadakan kerjasama bersama Jabatan Tenaga Kerja dibawah ‘JobsMalaysia’ untuk membantu graduan-graduan yang menganggur mendapat pekerjaan. Disamping mengekal dan menambah baik skim-skim terdahulu, YB Khuzaini juga memperkenalkan skim baharu bagi usahawan-usahawan dalam bidang agro dan pelancongan yang belum diwujudkan sebelum ini. Bantuan kewangan juga dirancang untuk diagihkan kepada peniaga-peniaga yang berdaftar yang berniaga di tapak yang sah.

Inilah antara beberapa cebisan kisah di balik tabir pentadbiran Kerajaan Terengganu, bermula waktu-waktu awal mereka menduduki tampuk pemerintahan yang saya kutip dan kongsikan bagi kefahaman semua akan bidang tugas kepimpinan negeri. Ada banyak lagi, tetapi ada perancangan yang tidak boleh dimaklumkan awal kepada umum. Mereka berkerja pagi, petang dan tidak sedikit juga waktu malam dihabiskan bagi mereka memenuhi kehendak seluruh lapisan warga Terengganu. Kerja keras ini bukan hanya tertumpu kepada melunaskan janji-janji manifesto sahaja, tetapi juga merancang perkara baharu, melaksanakannya dengan wang rakyat dan memastikan hasil yang terbaik diperolehi rakyat. Kepercayaan rakyat ini tidak mereka persiakan, mereka sedang membuktikan mereka adalah lebih baik, malah terbaik dalam menyempurnakan amanah yang dipikul.

Ucapan terima kasih juga harus diberikan kepada kakitangan Kerajaan Negeri dan agensi disemua peringkat yang sentiasa membantu kepimpinan menjalankan agenda mereka dengan sikap penuh profesional. Amatlah diharapkan pula kepada penyokong atau ahli PAS agar tidak terlalu menekan pimpinan bagi mendapat hasil terbaik dengan segera. Barisan pimpinan kita sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat. Bersabarlah, biarlah orang lain yang berfikir atau bertindak diluar kebiasaan, memberi tekanan, tetapi bukan kita. Kita mesti menjadi pembantu kepada pimpinan kita dengan keupayaan yang kita miliki. Kerajaan ini, kerajaan kita.

NASIR ABDULLAH
Doha, Qatar – HARAKAHDAILY 20/8/2018