Pemerintahan ulamak Kesultanan Demak

SALAH satu ciri terpenting Kerajaan Demak sebagai sebuah Daulah Islam ialah mengimplementasikan kepemimpinan ulamak. Kerajaan ini bukan hanya dibangunkan oleh para ulamak di kalangan Wali Songo, tetapi Raja pengasasnya juga, Raden Patah adalah seorang ulamak yang mewarisi legasi takhta Kerajaan Majapahit di Trowulan yang runtuh diserang oleh Girindra Wardhana pada 1478M. Kerajaan Demak yang bangkit sebagai Kerajaan Islam ini bertahan selama sekitar 70 tahun, sebelum ia diserang oleh Pajang pada 1549M dan selepas pembunuhan Sunan Prawoto, Sultan terakhirnya pada 1549M. Sepanjang sejarah perkembangannya, Kerajaan Demak bukan sahaja berjaya menamatkan penguasaan Kerajaan Hindu Majapahit, Padjajaran dan Blambangan, tetapi berjaya memasukkan seluruh Pulau Jawa dalam Wilayah Islam, dan sekali gus menyebarkan Islam ke seluruh Kepulauan Nusantara termasuk Sumatera, Kalimantan, Sulawesi, Maluku dan Nusa Tenggara.

Advertisement

Peranan para Wali Songo, khususnya Sunan Gunung Jati, Sunan Giri dan Sunan Kudus terhadap pentadbiran Kerajaan Demak telah mengukuhkan kedudukan Sunan Kota (Raden Patah) dan para pewarisnya, Sultan Adipati Yunus (Pati Unus) dan Sultan Trenggono sebagai Sultan-sultan yang berwibawa dalam melanjutkan pengaruh ulamak di Jawa. Sebagai mana Raden Patah (1478-1518M) yang terkenal sebagai pengasas Kerajaan Demak, Sultan Pati Unus (1518-1521M) pula terkenal kerana kegigihan jihadnya menentang Kerajaan Hindu dan menyekat pengaruh Portugis, sedang Sultan Trenggono (1521-1546M) adalah penyebar Islam dan pembangun Empayar Demak, yang kedua-duanya syahid dalam jihad mereka. Tinggal saja Sunan Prawono yang tidak sempat berbuat banyak apabila dibunuh oleh Arya Penangsang, sebelum Jaka Tangkir dari Pajang menyerang dan meruntuhkan daulah ini pada 1459M. Namun, dalam tempoh 70 tahun ini, di bawah empat orang Sultan, Kerajaan Demak yang mewarisi Majapahit ternyata berjaya membina kegemilangan yang setanding sebagai sebuah empayar politik di Jawa.

Demak, 1478-1549: Perkembangan Kerajaan

Sejak berdirinya Kerajaan Demak pada 1478M (1400 Tahun Saka atau 856H) ekoran keruntuhan Majapahit, Raden Patah telah dilantik oleh para Wali Songo sebagai Sultan Demak pertama bergelar Sultan Fatah secara rasmi pada hari Isnin malam Selasa, 12 Rabiul Awal 860H (1482M atau 1404TS). Memerintah selama 40 tahun, Sultan Fatah telah berusaha mengembangkan dakwah Islam dan menguatkuasakan Undang-undang Syariat melalui Salokantra, iaitu satu set Undang-undang Kerajaan. Baginda turut melancarkan ekspedisi membebaskan Melaka pada 1513M dari penjajahan Portugis. Pada 1518M, Sultan Fatah telah wafat dan digantikan oleh menantunya, Pati Unus (Adipati Yunus) bergelar Sultan Yunus. Pada asalnya, Raden Surya, putera sulung Sultan Fatah menjadi putera mahkota, tetapi baginda syahid ketika ekspedisi membebaskan Melaka pada 1513M, lalu Sultan Yunus ditabalkan. Dengan didukung oleh Sunan Gunung Jati, Sultan Yunus telah melancarkan ekspedisi ke Melaka kali kedua pada 1521M, tetapi baginda dan putera sulungnya telah syahid dalam perang ini, lalu diganti oleh Raden Trenggono, putera Sultan Fatah. Sultan Trenggono adalah cucunda Prabu Brawijaya V yang juga cucu Sunan Ampel dari sebelah ibunya. Baginda memerintah sehingga 1546M.

Pada 1526M, Demak telah berjaya menguasai sepenuhnya Majapahit, diikuti penguasaan Demak ke atas Tuban, Wirasari (Mediun), Medangkungan (Blora), Surabaya, Pasuhruhan, Lamongan, Blitar, Wirasaba, Gunung Pananggunggan dan Sengguruh. Pada zaman sebelumnya, Demak telah berkuasa ke atas Jepara, Rembang, Kudus, Tingkir, Jipang, Semarang, Pajang dan Juwana. Dengan kejayaan Sultan Trenggono menguasai semua wilayah ini, hampir seluruh Pulau Jawa telah berada dalam kekuasaan Demak kecuali Blambangan, sekali gus menjadi empayar terkuat menggantikan Majapahit. Namun begitu, pada hujung pemerintahannya, telah berlaku sedikit konflik dalam keluarga dan kerajaan. Banginda mengahwinkan puterinya dengan Sunan Fatahillah dari Pasai yang juga anggota Wali Songo, manakala seorang lagi puterinya dinikahkan dengan Jaka Tingkir, yang dijadikan Adipati Pajang. Untuk mengembangkan dakwah, Sunan Kalijaga telah dibawa ke Ceribon, tetapi berlaku perselisihan pendapat dengan Sunan Kudus, sehingga tercetus pula krisis dalam pentadbiran agama. Sultan Trenggono pada 1546M, telah mengatur gerakan jihad ke atas Panarukan di Timur Jawa yang diketuai Sunan Fatahillah sebagai langkah menghancurkan saki baki Kerajaan Hindu Blambangan. Setelah pengepungan selama tiga bulan, Sultan Trenggono syahid ketika sedang bermesyuarat di medan perang akibat tertusuk pisau oleh putera Bupati Surabaya yang masih kanak-kanak. Baginda digantikan oleh puteranya, Raden Mukmin yang bergelar Sunan Prawoto. Kerana krisis dalaman Istana dan wali-wali yang berlanjutan, pada 1549M, Sunan Prawoto telah dibunuh oleh upahan sepupunya, Arya Penangsang. Sesetengah ahli sejarah mengatakan Arya Penangsang menjadi Raja Demak seketika, sebelum dibunuh oleh Adipati Tingkir yang bergelar Adipati Hadiwijaya dari Pajang. Pembunuhan ini telah meruntuhkan sama sekali Kerajaan Demak, dan berganti dengan Kerajaan Pajang pada 1549M.

Tokoh-tokoh pembangun Demak

Selain peranan para Wali Songo yang telah disebutkan, ketokohan Sultan-sultan Demak memang menjadi faktor yang sangat penting dalam membangunkan Demak. Tiga Sultan pertama Demak adalah para ulamak dan mujahid yang meluaskan dakwah Islam di Jawa, selain mempertahankan bumi umat Islam dari penaklukan kuasa Barat, Portugis. Sultan Demak keempat, Sunan Prawoto juga dicatatkan mempunyai cita-cita untuk meluaskan lagi Empayar Demak dan berkuasa seperti Daulah Othmaniyah, tetapi kerana kelemahan beliau, diikuti oleh peranan perisik Portugis, Fernandez Mendez Pinto serta krisis-krisis dalaman kraton, telah menyebabkan Demak runtuh dalam tempoh yang sangat cepat. Kelemahan utama Sunan Prawoto ialah kerana selalu tunduk dengan pandangan Pinto, terlalu cenderung untuk menjadi ahli sufi sedangkan baginda seorang Sultan serta gagal menangani krisis para wali dengan berkesan. Kerana kelemahan ini, berlaku krisis Istana yang membawa kepada pembunuhannya dan gerakan menuntut takhta yang menghancurkan Demak.

Di sebalik kelemahan Sunan Prawoto, Raden Patah yang mewarisi legasi Majapahit telah memperlihatkan ketokohannya yang didukung oleh para Wali Songo. Selain meluaskan empayar dan menegakkan syariat, putera Prabu Brawijaya V ini telah meluaskan dakwah Islam di seluruh Jawa dan berusaha menghalau Portugis dari Melaka. Menantu baginda, Pati Unus pula adalah Raden Abdul Qader bin Raden Muhammad Yunus (Sheikh Khaliqul Idrus) yang merupakan generasi ke-19 Rasulullah S.A.W. Baginda adalah bekas Adipati Jepara, selain turut menjadi menantu Sunan Gunung Jati. Sebelum menjadi Sultan, baginda adalah Panglima Armada Laut Kesultanan Banten, Demak dan Ceribon yang berusaha membebaskan Melaka. Ketika ini baginda bergelar Senapati Sarjawala. Peranan terbesar baginda ialah ekspedisi kedua ke atas Melaka pada 1521M yang membawa kepada kesyahidannya, dan sejak itu baginda bergelar Pangeran Seberang Lor. Adapun Sultan Trenggono sebagai putera Raden Patah dan cucunda Sunan Ampel, termasyhur dengan gerakan-gerakan jihadnya dalam meluaskan Empayar Demak ke seluruh Pulau Jawa dan akhirnya syahid dalam perang ke atas Blambangan pada 1546M.

Peranan para ulamak dalam kepemimpinan umat

Kedudukan para ulamak dalam kepemimpinan Kerajaan Demak adalah satu model baru kepemimpinan di Nusantara. Berbeza dengan Kerajaan Perlak, Melaka, Samudera-Pasai dan Brunei sebelumnya, Demak tampil dengan ulamak menjadi pengasasnya dan kesemua Rajanya adalah dari kalangan ulamak, selain peranan besar Wali Songo terhadap dasar-dasar kerajaan, sehingga Islam dapat bangkit dengan pesat di Jawa dalam tempoh 70 tahun. Gabungan ulamak-umarak ini merupakan ciri khusus yang membezakan Demak dengan kerajaan-kerajaan lain di Nusantara sejak 840M. Kemunculan Raden Patah (1478-1518M), Pati Unus (1518-1521M), Sultan Trenggono (1521-1546M) dan Sunan Prawoto (1546-1549M) sebagai para Sultan yang bertaraf ulamak telah mengangkat kedudukan Islam sebagai agama yang diterima dengan cepat oleh orang Jawa yang sebelumnya beragama Hindu di bawah Majapahit. Keadaan inilah yang membawa kepada ulasan seorang sarjana, Sri Wintala Achmad yang mengatakan, berdasarkan gelaran ‘Sultan’ dan ‘Sunan’ yang digunakan dalam Kerajaan Demak, bukannya ‘Prabu,’ ‘Ratu,’ atau ‘Maharaja,’ menunjukan bahawa Raja-raja Islam bukan sahaja berperanan sebagai pemimpin rakyat dan negara, tetapi juga sebagai pemimpin agama.

Konsep kepemimpinan agama ini mudah diterima oleh masyarakat Jawa kerana agama Hindu sebelumnya meletakkan konsep ‘Devaraja,’ iaitu satu konsep yang menyucikan Raja dengan memberikan taraf ‘Dewa’ kepada mereka. Sedangkan Islam membawa tema ‘Khalifatullah fil ard’ (Khalifah Allah di muka bumi), yang meletakkan ulamak sebagai pemimpin, menyerupai konsep ‘Devaraja.’ Hal ini diperkukuhkan lagi dengan kedudukan para Wali Songo yang berperanan sejak 1404M, di mana dalam pemikiran masyarakat Jawa, para wali ini mempunyai keramat atau magis, iaitu satu bentuk kuasa luar biasa yang dimiliki oleh para ulamak disebabkan faktor agama. Soal benar atau tidak magis tersebut, tidak berbangkit dalam mengangkat tokoh-tokoh ulamak, tetapi semua kronik Jawa membawakan tema ini dalam memperkatakan mengenai Wali Songo. Atas asas ini, kepemimpinan ulamak menjadi unsur penting dalam peng-Islaman orang Jawa, sekali gus membentuk kepemimpinan umat.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
12 Zulqaedah 1439 / 26 Julai 2018 – HARAKAHDAILY 20/8/2018