PH retak menanti belah, PAS terus subur

FIRMAN Allah SWT dalam Surah al Hasyr ayat 14.

Advertisement

ۚ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ ۚ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَا يَعْقِلُون

Maksudnya: “..(Sebabnya): permusuhan di antara mereka sesama sendiri amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka berpecah belah (disebabkan berlainan kepercayaan mereka). Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami (perkara yang sebenarnya yang memberi kebaikan kepada mereka)…”

Perkembangan terbaru Kerajaan Pakatan Harapan membayangkan rupa retak menanti belah.

Mereka sudah mula menampakkan belang dan pekung di dada masing-masing apabila setiap diri mereka membawa agenda yang berkepentingan diri sendiri daripada agenda berbakti kepada rakyat.

Walaupun PH berbangga diri kerana menganggap berjaya menjatuhkan kerajaan Umno BN di peringkat persekutuan, namun kemenangan mereka adalah kemenangan yang rapuh dan pincang.

Ia bermula kemenangan yang berpaksikan fitnah, persepsi dan bersifat gula-gula pilihan raya, manifesto yang ditawarkan kepada pengundi pada PRU14 lalu hanyalah janji kebudak-budakan dan tanpa kajian. Kini Kerajaan PH sendiri mengaku bahawa mereka tidak mampu “deliver” manifesto mereka.

Tambahan lagi, pemimpin Kerajaan PH bukan hanya tidak melaksanakan manifesto yang wajib ditunaikan kepada rakyat, mereka pula sibuk membuat tuntutan di luar daripada janji manifesto mereka dan berusaha melaksanakan keputusan yang bersifat kontroversi kepada kepentingan agama dan kaum.

Malah, ada Kerajaan PH di negeri tertentu dan pemimpin proksi mereka gigih merungkai dan merobek keharmonian kedudukan Islam yang dipersetujui bersama oleh pelbagai kaum dan agama ketika mencapai kemerdekaan dan kontrak sosial yang mempastikan keamanan negara.

Isu janji 100 hari, isu UEC, SST, kedudukan ringgit, harga minyak, kedudukan Bahasa Kebangsaan di sektor awam, nasib kedudukan Islam, isu LGBT, hutang negara, 1MDB, saman AES, isu tanah, jawatan Perdana Menteri dan pemilihan PKR dan bermacam-macam lagi telah menjadikan kesatuan PH bergoncang.

Sebaliknya PAS kini pula sedang meneroka strategi baru. Rakyat mulai sedar bahawa memilih PH pada PRU14 lalu sedikit pun tidak mengubah keadaan mereka seperti sebelum ini. PAS sedang menyedarkan rakyat bahawa negara di tangan pihak yang salah.

PAS juga semakin kukuh di dua negeri Kelantan dan Terengganu. PAS bakal menterjemahkan kemampuan mentadbir dan mengurus berdasarkan prinsip Islam sebagai bukti bahawa Islam menawarkan kebaikan dan kesejahteraan terbaik berbanding dengan sistem ciptaan manusia.

Taawun siyasi menjadi elemen penting kepada PAS untuk mengorak langkah terbaru bagi melonjakkan lagi dakwah PAS di arena politik negara. PAS terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang bersedia menerima dasar PAS dan Islam.

Selepas berjaya membina Gagasan Sejahtera menghadapi PRU14 lalu, kerjasama antara PAS dan Umno BN atas semangat pembangkang yang kuat kepada kerajaan pimpinan PH adalah perkembangan yang cukup positif kepada keutuhan PAS.

Kerjasama ini adalah bagi membina kekuatan suara Islam dalam pembangkang sebagai Semak dan Imbang kepada Kerajaan Pimpinan PH.

Walaupun Umno pernah menjadi musuh politik PAS sejak merdeka, namun atas kepentingan Islam dan mengimbangi kedudukan Melayu sebagai dominasi kaum di negara ini, diketepikan segala percanggahan untuk mendapat titik pertemuan demi kebaikan.

PRK Sg Kandis adalah permulaan yang baik di mana rakyat sudah menunjukkan sikap dengan peratusan keluar mengundi menurun mendadak di samping undi PH hilang secara ketara.

Kini PRK Seri Setia, PAS meletakkan calon yang terbaik sebagai ayam tambatan di Selangor untuk mewakili PAS dan rakyat yang mampu membawa misi dan dakwah ke arah yang lebih efektif.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada PAS dan membantu PAS dalam perjuangan menegakkan agama-Nya di negara ini.

Sejahtera Bersama Islam

Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat
Setiausaha Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
20 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 20/8/2018