Semangat pembangkang di Balakong, Seri Setia

TIDAK dapat tidak, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu menatijahkan sesuatu yang telah dapat dijangkakan daripada awal.

Advertisement

Kemelut politik semakin berpanjangan. Keparahan sosial semakin menekan. Prestasi ekonomi semakin membimbangkan. Realiti ini diakui oleh semua pihak.

Seratus hari yang berlalu dalam pemerintahan Pakatan Harapan tidak nampak riak untuk memulihkan keadaan sebaliknya banyak perkara yang menambah keresahan umat Islam di Malaysia khususnya.

Ditakdirkan berlaku tiga pilihan raya kecil dalam tempoh seratus hari. Di PRK Sungai Kandis dan Seri Setia, PAS mengambil sikap berta’awun (bekerjasama) dengan Umno, tanpa sebarang perjanjian politik yang mengikat antara kedua-duanya.

Sementara di Dun Balakong yang mempunyai komposisi kaum majoriti Cina melebihi 60 peratus, PAS melihat tiada keperluan semasa untuk menempatkan calon di Dun berkenaan.

YB Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS menyatakan sokongan kepada MCA atas semangat pembangkang. Team pembangkang mesti diperkukuhkan untuk menghakis ego pemerintah yang dilihat membawa kemudharatan besar kepada agama, rakyat dan negara jika dibiarkan.

Sudah pasti keputusan yang dibuat ini berdasarkan pertimbangan politik semasa yang difahami daripada Fiqh Muwazanat (Feqah Timbangan Membuat Keputusan) dan Feqh Al Waqi’ (Feqah Realiti)

Kemenangan pembangkang dalam PRK ini, meskipun tidak merubah kerajaan negeri, tetapi mampu membentuk kekuatan dalam kalangan koalisi pembangkang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor.

Kekuatan tersebut boleh dimanfaatkan sebagai institusi semak imbang dan menjadi pembangkang yang konstruktif.

Sememangnya lawan politik PAS mahu supaya PAS dan team pembangkang yang lain terus bercakaran dan bertelingkah, maka dalam masa yang sama mereka boleh mencedok untung berganda ganda lipatnya dan terus menang selesa dalam pilihan raya. Sementara pembangkang terus menggigit empat puntung jarinya.

~ kecerdikan politik PAS ini, setelah mengekalkan pemerintahannya di Kelantan dan mengambil alih kerajaan Terengganu serta menambah kerusi di Pahang dan meraih 18 kerusi di Parlimen akan terus menghantui Pakatan Harapan.

~ kini memperkukuhkan Unity Opposition (UO) dalam menghadapi beberapa siri PRK sementara menjelang PRU ke-15 akan datang membuatkan PH tidak senang duduk. – HARAKAHDAILY 20/8/2018