Perutusan MB Kelantan sempena Aidiladha 1439H

RASULULLAH SAW ada bersabda :

Advertisement

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهَا لَتَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنْ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِن الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya : Tiada sesuatu amalan yang dikerjakan oleh anak Adam pada Hari Raya Korban yang lebih disukai oleh Allah daripada menumpahkan darah (laksana ibadat korban). Bahawasanya ia (haiwan yang dikorbankan itu) datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Bahawasanya darah (korban itu) mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi. Oleh itu, hendaklah kamu (melaksanakan ibadah korban) dengan mengikhlaskan diri. (Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Aidiladha sentiasa mengingatkan kita kepada kisah sebuah pengorbanan agung iaitu kisah Nabi Ibrahim A.S bersama puteranya Ismail A.S. Apabila Nabi Ibrahim diarahkan untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail, mereka terus menjunjung perintah Allah SWT dengan penuh ketaatan dan pengorbanan.

Mengambil ibrah daripada pengorbanan agung ini, kita sebagai umat Islam harus melaksanakan pengorbanan demi agama Islam yang tercinta ini. Kebelakangan ini, kita mendengar banyak suara yang cuba untuk menyebarkan fahaman yang bertentangan dengan ajaran Islam. Terdapat juga tuntutan-tuntutan yang songsang dan melawan norma kemanusiaan.

Apabila ajaran Islam dan usaha dakwah tidak diambil berat, maka inilah kecelaruan yang berlaku dalam masyarakat kita. Sewajarnya kita sebagai umat Islam berusaha untuk memartabatkan Islam bermula dengan diri kita, keluarga dan masyarakat seterusnya negara yang kita cintai ini.Segala usaha dakwah dan pelaksanaan undang-undang syariah hendaklah disokong dan didokong sepenuhnya. Alhamdulillah, Kelantan sebagai sebuah negeri yang meletakkan dasar Membangun Bersama Islam sentiasa komited untuk memastikan Islam dapat didaulatkan.

Sempena Aidiladha ini juga, kita mendoakan saudara-saudara kita para jemaah haji di tanah suci dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan beroleh haji yang mabrur. Bagi yang melaksanakan ibadah korban, sama-samalah kita mengikhlaskan diri dalam melaksanakan ibadah yang mulia ini. Semoga segala pengorbanan dan ibadah kita diterima di sisi Allah.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam. Maaf zahir batin daripada saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri, semoga Allah menerima segala amalan kita dan mengampuni seluruh dosa kita sempena hari 9 Zulhijjah.

Merakyat Membangun Bersama Islam

‘Kelantan Melangkah Ke Hadapan’
‘Keberkatan, Kemakmuran, Kebajikan’

YAB USTAZ DATO’ HAJI AHMAD YAKOB
(Dato’ Bentara Kanan)
Menteri Besar Kelantan
9 Zulhijjah 1439H/21 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 21/8/2018