Batal projek ECRL langkah tergesa-gesa

KOTA BHARU: Tindakan Kerajaan Persekutuan membatalkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dianggap satu lagi langkah tergesa-gesa.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, sekiranya dakwaan itu benar kerajaan terpaksa membayar pampasan lebih besar daripada kos asal projek tersebut.

Katanya walau pun berlaku perubahan pentadbiran kerajaan persekutuan, namun sebarang pembangunan yang melibatkan kepentingan rakyat tidak boleh dihentikan begitu sahaja.

“Jangan buat keputusan yang tergesa-gesa dalam isu ECRL, kalau boleh kerajaan kena buat semakan dahulu kerana ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara kerana terpaksa membayar pampasan.

“Walaupun ada kesan positif dan negatif dalam isu ini, tetapi pada pandangan kita aspek positif lebih banyak sebab itu kita dari awal lagi menyokong projek ECRL,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Ibadah Qurban Jama’ie Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) di Padang Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra di sini semalam.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan projek ECRL dibatalkan ketika lawatan kerja ke Beijing, China. – HARAKAHDAILY 24/8/2018