LGBT dan mempolitikkan agama

nasrudin2

KENYATAAN media ini merujuk kepada dua perkara yang saling berkaitan.

Advertisement

Pertama, tulisan seorang pemimpin Parti Amanah Negara (Kelantan) yang melampirkan sebahagian teks khutbah Aidil Adha Dewan Ulama’ PAS Kelantan dalam media sosialnya.

Kedua, kenyataan Menteri di JPM (Agama) yang disiarkan dalam MalaysiaKini bertarikh 25 Ogos 2018 yang bertajuk, “Agama harus bebas dari politik, kata Mujahid”.

Kedua-dua kenyataan ini cuba mengelirukan rakyat daripada isu pokok yang berlaku.

Khutbah Aidil Adha bukan saluran dakyah, menyebar fitnah dan menanam kebencian terhadap pemerintah dengan menggunakan sentimen agama seperti mana yang didakwa.

Merujuk kepada teks khutbah tersebut pada muka surat ke-7, “Keterlibatan mereka dalam aktiviti hubungan sejenis yang songsang dan menukar jantina samada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya yang ditegah oleh agama Islam sepatutnya diambil tindakan tegas oleh pihak kerajaan bukan semakin melayan dan memenuhi tuntutan mereka”.

Apakah sedutan teks khutbah ini dikatakan dakyah, fitnah dan menanam kebencian terhadap pemerintah? Sebaliknya apakah tindakan tegas yang telah diambil oleh kerajaan untuk membendung masalah LGBT, khususnya golongan transgender di negara ini?

Bagaimana sikap yang ditunjukkan oleh menteri ketika berdiskusi dengan aktivis transgender Saudara Nisha Ayub? Apa tindakan tegas menteri tentang majlis pra perkahwinan individu transgender?

Mengapa menteri agama tidak mengambil tindakan tegas dan berkesan terhadap penganjur parti gay terbesar yang akan diadakan penghujung bulan Ogos selama 3 hari di G Tower KL?

LGBT adalah realiti yang semakin parah di Malaysia. Tidak cukup hanya dialog dan kenyataan media sahaja tanpa mengambil tindakan tegas untuk mencegah perbuatan tersebut daripada berlarutan.

Kebejatan ini mesti sentiasa diingatkan kepada rakyat untuk menolak dengan tegas perlakuan sumbang yang diharamkan dalam Islam. Apa sahaja ruang untuk menimbulkan kesedaran mesti dimanfaatkan kerana golongan ini juga telah memanipulasi pelbagai cara untuk mempromosi budaya songsang mereka.

Kumpulan ini bukan sekadar melakukannya secara ‘private’ bahkan sudah berani mencabar pihak berautoriti agama di mahkamah.

Oleh sebab itu, tujuan berpolitik adalah untuk memartabatkan agama dan menjaga kemaslahatan ummah. Perkataan politik atau siyasah antaranya merujuk kepada memimpin atau mentadbir manusia ke arah kebaikan. Siyasah terbahagi kepada dua :

Pertama, siyasah yang memimpin manusia menurut kehendak Syariah dan pemimpin bertindak memelihara agama serta mengurus dunia dengan agama.

Kedua, siyasah yang memimpin manusia menurut kehendak manusia dan menolak agama.

Maka, bagaimanalah urusan Islam itu boleh dipisahkan dengan politik. Kelak politik tanpa agama itu akan terdedah kepada perkara mungkar yang diharamkan oleh syara’.

Justeru itu politik mesti diluruskan dengan petunjuk Allah swt dan pedoman agama yang diwahyukan okeh Allah swt. Tidak mungkin politik boleh dipisahkan daripada agama.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
14 Zulhijjah 1439 | 26 Ogos 2018 – HARAKAHDAILY 26/8/2018