N.32: Medan ujikaji strategi dan kerjasama

100 Hari PH

Advertisement

Tarikh PRK Seri Setia agak menarik kerana ia berlaku dalam mood rakyat menilai prestasi 100 Hari kerajaan baharu. Mengikut undian online di 7 laman Facebook popular, hanya 20 peratus rakyat Malaysia yang berpuas hati dengan prestasi pentadbiran negara.

Apakah benar undian ini mewakili majoriti rakyat Malaysia? Keputusan PRK bakal menjawabnya jika rakyat menjadikan medan ini bagi menyatakan ketidakpuashatian mereka dalam bentuk undi protes. Penurunan margin undi sudah cukup sebagai signal.

Status kerjasama

Isu yang hangat kebelakangan ini adalah soal kerjasama antara PAS-Umno. Pada PRK kali ini, Umno kelihatan begitu komited dalam membantu PAS. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan secara positif terhadap PAS ditambah dengan kelibat mereka yang muncul bermula penamaan calon sehinggalah siri-siri kempen.

Apakah kerjasama ini bakal meningkatkan sokongan kepada PAS? Keputusan undi PRK akan menjawabnya.

Bentuk kerjasama

Bentuk kerjasama PAS-Umno juga menjadi perbincangan. Apakah mengguna pakai model PAS sewaktu bersama Perikatan dahulu yang berada di luar (Perikatan+PAS), atau BN dahulu di mana PAS menjadi salah satu parti komponen yang terikat dengan segala disiplinnya, atau seperti PR dahulu yang berpegang kepada dasar bersetuju untuk tidak bersetuju, ataupun model Gagasan Sejahtera di mana PAS mendominasi kerjasama.

Pada PRK Sungai Kandis, Umno bertanding manakala PAS membantu. Walau bagaimanapun, keputusan seolah menunjukkan kerjasama itu masih belum dapat diterima rakyat. Mungkin kerana rakyat masih melihat Umno mendominasi kerjasama tersebut.

Mungkinkah keadaan akan berbeza sekiranya PAS yang bertanding seolah-olah PAS pula mendominasi? Jika PAS berjaya meningkatkan undi berbanding PRU lepas, ia merupakan signal yang jelas bahawa rakyat mahu PAS yang mengemudi dan mendominasi kerjasama, bukan Umno dan bukan kerjasama setara.

Masa depan BN

Kerelevanan BN di persada politik tanah air pasca PRU14 turut menjadi bualan. Dengan kekalahan peringkat nasional, mempertahankan hanya 2 negeri dan parti komponen selain Umno boleh dianggap total-lost, apakah pakatan tersebut atau Umno sendiri masih relevan?

Keputusan PRK Sungai Kandis memperlihatkan seolah jangka hayat BN sudah pun berakhir. Mungkin itulah sebab MCA bertanding di Balakong menggunakan lambang mereka sendiri, tidak lagi dacing. Sekiranya keputusan PRK Balakong dan Seri Setia memihak kepada PAS dan MCA, Umno perlu memikirkan strategi baru jika mahu terus kekal dalam politik.

Media baru

Hipotesis yang dibuat ramai pihak mengenai faktor kemenangan PH pada PRU14 adalah kerana mereka menguasai medan maya. Kelibat mereka boleh dikatakan langsung tidak kelihatan meraih undi secara konvensional seperti ziarah rumah ke rumah, ceramah kelompok, edaran risalah atau program-program mendekati masyarakat. Sebaliknya mereka cukup rancak dengan berbagai bentuk kempen di media sosial dan laman sesawang.

Sekiranya PAS sedar dan bertindak pro-aktif dalam menyaingi PH dari sudut ini, PRK Sungai Kandis boleh dijadikan sebuah eksperimen apakah hipotesis ini benar. Rancang strategi berbentuk kempen digital lebih dari konvensional. Lebihkan belanja untuk memasarkan kempen dan kurangkan belanja bagi pendekatan fizikal.

Model Sijangkang

Satu-satunya kerusi yang dimenangi PAS di Selangor adalah Dun Sijangkang. Jika dikira mengikut ranking, Dun tersebut bukanlah kerusi paling selesa bagi PAS. Justeru kemenangan tersebut di saat kekalahan semua kerusi-kerusi yang pernah disandang sebelum ini merupakan satu keajaiban. Pasti ada rahsia dan strategi unik yang digunapakai.

Bagi mencapai prestasi seperti Dun tersebut, pendekatan jentera Dun berkenaan perlu diterapkan pada PRK Seri Setia. Jika berjaya sekurang-kurangnya meningkatkan peratus sokongan kepada PAS, ia boleh menjadi formula bagi menawan Selangor dan Pantai Barat untuk pilihan raya seterusnya.

15 Zulhijjah 1439
26 Ogos 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 26/8/2018