Perginya rakanku cerpenis Ahmad Mahmud

SAYA mengetahui cerpenis Ahmad Mahmud sejak saya sekolah lagi. Dia dari Beruas dan saya dari Sitiawan.

Advertisement

Saya senang mengingatinya kerana namanya sama dengan orang muda filem Melayu zaman P.Ramlee.

Saya mula bertemunya bila saya ke Ipoh membua liputan berita. Terakhir saya menemuinya di Masjid Kota Damansara dua tahun dulu. Lebih 50 tahun saya mengenalinya. Bila saya ke Ipoh dan dia tahu saya datang, dia akan datang bertemu saya.

Banyak karyanya diterbitkan di Utusan Zaman yang saya pernah jadi penyuntingnya dan Berita Minggu. Saya sentiasa melihatnya senyum. Senyum itu sedekah. Setiap kali saya berjumpanya saya dapat sedekah itu daripadanya.

Bila saya membantu Tan Sri Khir Johari menerbitkan tabloid Watan saya ambil dia bekerja. Dia bukan wartawan tetapi boleh menyempurnakan tulisan fiksyen dan bukan fiksyen.

Saya senang dengannya kerana dia dapat memenuhi apa yang saya anjurkan untuk ditulis. Dia tidak pernah menolak apa yang diarah dan dapat segera menyempurnakannya.

Satu kejadian menarik ialah tentang pesara ketua setiausaha sebuah kementerian yang penting jadi peneraju akhbar perdana yang menerbitkan harian Inggeris dan Melayu. Dia menulis setiap hari dalam dua harian itu.

Sasaran utamanya ialah Tan Sri Syed Jaafar Albar, seorang pimpinan penting Umno yang bebas mengkritik pimpinan partinya termasuk presidennya dan Perdana Menteri. Watan yang sama pimpin banyak memberi liputan kepada Albar.

Hubungannya dengan Albar pada persepsi saya tidak rasional lagi. Satu hari dia memuatkan dalam tulisannya agak panjang tentang sebuah harian tabloid. Masa itu Watan saja harIan tabloid yang ada.

Tulisannya itu adalah hikayat riadhah berjalan kakinya satu pagi. Dari jauh dia nampak anjing lapar menyelongkar sampah yang dibuang. Bila dia hampir dengan ajing itu didapatinya ia merobek makanan yang terbuang yang dibalut dengan akhbar tabloid. Koyak rabaklah kertas akhbar itu.

Kesimpulannya demikianlah nilai tabloid itu yang sesuai untuk anjing kurap saja.

Saya panggil Ahmad Mahmud. “Kamu sambung tulisan ini!”

Sebutkan pejalan kaki itu sampai ke kawasasn setinggan yang ada pasar borong berhampirannya. Sekarang kawasan itu jadi tapak PWTC dan Ibu Pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Kawasan setinggan mana ada tandas pam. Di sana sini tandasnya pondok papan saja. Gelap lagi tong najis itu dipungut pengangkut dicurahkan ke lori membawanya dari situ. Bau tandas dan lalat tak terkira lagi.

Di beberapa dinding tandas ditampal poster pilihan raya Perdana Menteri dan poster calon-calon lain.

Pejalan kaki itu tentu nampak poster yang tertampal di tandas-tandas kawasan setinggan. Apa komen si pejalan kaki tentang poster dan tandas itu?

Adakah tandas itu naik taraf kerana dibalut poster Perdana Menteri atau taraf Perdana Menteri itu memang layak di situ.

Dengan bahasa dan jalan cerita Ahmad Mahmud itu, padan dengan saya mahu. Ia disiarkan Watan esoknya. Ramai yang minat tulisan Ahmad Mahmud itu. Saya kira Jaafar Albar dan Khir Johari puas hati dengan sindiran itu.

Saya dapat tahu Tan Sri pesara PTD itu tahu moral tulisan Ahmad Mahmud lebih bernilai daripada catatan jalan kakinya.

Itulah kelebihan rakanku Ahmad Mahmud yang seusia dengan saya – kurang dua tahun 80. Karyanya tak terbilang. 20 tahun terakhir ini dia kurang terdedah. Pada saya dia sasterawan terbilang. – HARAKAHDAILY 29/8/2018