Persoal Presiden MPS bukan warga asal Sabah

SANDAKAN: PAS Negeri Sabah mempersoalkan kewajaran Kerajaan Sabah melantik Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) yang merupakan bukan warga asal Sabah.
 
Perkara tersebut dinyatakan oleh Timbalan Pesuruhjaya III PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ketika mengulas perlantikan Datuk Hu Chang Lik sebagai Presiden MPS.
 
“Apakah sudah tidak ada warga Sabah yang berkelayakan bagi memegang jawatan sepenting itu?” soal Sahar di sini, kelmarin.
 
Jelas beliau yang juga merupakan Yang DiPertua PAS Kawasan Sandakan, perkara ini adalah penafian hak warga tempatan yang berkelayakan dan sepatutnya memegang jawatan itu.
 
Tambahnya lagi, umum mengetahui Datuk Hu merupakan seorang ahli perniagaan yang dikatakan telah menyumbang jutaan ringgit dana politik kepada Parti Warisan Sabah pada PRU14 lalu.
 
“Adakah ini sebagai balasan daripada Warisan dengan mengurniakan beliau jawatan tersebut sedangkan jawatan itu sewajarnya diisi oleh individu yang berkelayakan dari pelbagai sudut ilmu, pengalaman mentadbir dan bersifat akauntabiliti?
 
“Rakyat bimbang, perkara ini akan membuka ruang salah guna kuasa dan akhirnya matlamat serta fungsi sebenar MPS untuk mengurus kepentingan rakyat tersasar dari landasan sebenar,” ujarnya.
 
Ulasnya lagi, perkara yang lebih membimbangkan ialah apabila tular di media sosial mengatakan Datuk Hu merupakan seorang gangster dari Sarawak di mana label jahat tersebut amat mencurigakan
 
Tegasnya, pihak kerajaan perlu mengambil kira pandangan dan kebimbangan rakyat terhadap perlantikan Datuk Hu sekiranya mahu rakyat terus memberikan kepercayaan kepada kerajaan negeri pimpinan Warisan dan PH. -HARAKAHDAILY 1/9/2018
Advertisement