Kuasai bahasa Arab gali khazanah ilmu Islam

KOTA BHARU: Pelajar Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) disaran memantapkan penguasaan bahasa Arab di samping menguasai bahasa Inggeris.

Advertisement

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, penguasaan bahasa Arab begitu penting memandangkan ia merupakan bahasa al-Quran.

Ia juga sebagai kunci untuk menggali khazanah ilmu Islam.

“Begitu juga menguasai bahasa Inggeris juga penting sebagai nilai tambah memandangkan bahasa itu menjadi bahasa utama sekarang,” katanya pada ucaptama sempena Konvokesyen KIAS di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) hari ini.

Seramai 267 graduan program lulusan diploma menerima sijil pada istiadat tersebut. Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah, anggota Exco, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Ketua Eksekutif KIAS, Prof Dr Ab Aziz Mohd Zin.

Dalam majlis itu juga pelajar Diploma Al-Syariah, Mohamad Muqrie Mohamad Sopi, 21 dinobatkan sebagai graduan terbaik keseluruhan. Beliau menerima Anugerah Muhammad Al-Fatih.

KIAS milik kerajaan negeri menawarkan sebanyak 16 program pengajian termasuk Diploma Usuluddin, Al-Syariah, Kaunseling, Kewangan Islam, Dakwah dengan Media, Tahfiz al-Quran, Bahasa Arab dan Pengurusan Logistik dan Rantaian Bekalan. – HARAKAHDAILY 2/9/2018