Cadangan mansuh Undang-undang Syariah melampau

tatawi

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) menempelak kumpulan Joint Action Group for Gender Equality (JAG) yang mendesak untuk memansuhkan undang-undang jenayah Syariah.

Advertisement

Tindakan tersebut keterlaluan dan sangat biadap sehingga dilihat mencabar kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan di negara ini.

Undang-undang Syariah jelas diperuntukkan di dalam Jadual 9 (Senarai II – Senarai Negeri) Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi hukum hakam Syarak, undang-undang diri dan keluarga bagi mereka yang menganut agama Islam.

Undang-undang Jenayah Syariah adalah hak eksklusif untuk orang Islam di setiap negeri. Cadangan untuk menyatukan undang-undang jenayah hanya di bawah satu Kanun Keseksaan di bawah jurisdiksi Persekutuan adalah tidak relevan.

Tambahan pula, Undang-undang Jenayah Syariah adalah berasaskan ruh sumber-sumber syarak walaupun ianya sangat terhad kepada hukuman maksimum enam kali sebatan, denda sehingga RM5,000 dan tiga tahun penjara sahaja.

Hukuman ini telah ditetapkan sejak tahun 1998 dan belum pernah dipertingkatkan sehingga kini.

Terdahulu, YB Marang Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah kemukakan Private Member Bill untuk pinda Akta 355 bagi membolehkan memperkasakan Mahkamah Syariah dapat dilunaskan, tetapi belum berjaya.

Berdasarkan kes terbaru yang melibatkan dua orang wanita yang disabitkan kesalahan musahaqah di bawah Seksyen 30, Enakmen Undang-undang Jenayah Syariah (Takzir) Negeri Terengganu. PAS sangat menghargai usaha yang dilakukan oleh pihak mahkamah.

Pihak JAG dan Majlis Peguam Negara seharusnya memahami prosedur hukuman yang dilakukan oleh institusi mahkamah Syariah bukannya melabelkan ia sebagai satu set perundangan yang zalim dan barbaric.

Mudah-mudahan pelaksanaan hukuman tersebut mengundang kesedaran dalam kalangan rakyat dan keinsafan buat pesalah. Selebihnya urusan ini diserahkan kepada Allah SWT.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
22 Zulhijjah 1439 | 3 September 2018 – HARAKAHDAILY 3/9/2018