Kes Guan Eng: Tegak keadilan, bukan janji retorik

idris2

PAS mengambil maklum perkembangan terkini berkaitan dengan kes melibatkan Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada hari ini. PAS tetap menekankan bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi keadilan juga perlu kelihatan seperti dilaksanakan.

Advertisement

Sepertimana yang diketahui ramai dan dilaporkan di media massa, Peguam Negara Tommy Thomas merupakan salah seorang peguam yang terlibat dalam sebahagian daripada kes tersebut sebelum dia dilantik sebagai Peguam Negara.

Walaupun yang mengendalikan kes ini adalah Peguamcara Negara, Peguam Negara Tommy Thomas yang merupakan pegawai tertinggi JPN dan pegawai atasan kepada Peguamcara Negara, memberi gambaran bahawa bahawa keputusan JPN untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap LGE merupakan suatu keputusan yang berkepentingan (conflict of interest elements).

PAS menegaskan bahawa SPRM perlu mendapat autonomi atau kebebasan dalam menyiasat dan mendakwa sebarang kes rasuah di Malaysia. Agak mendukacitakan apabila SPRM mengeluarkan kenyataan bahawa ianya terkejut dengan keputusan JPN pada hari yang sama, seolah-olah keputusan tersebut bercanggah dengan siasatan dan saranan SPRM bagi kes ini.

PAS berharap bahawa prinsip kedaulatan undang-undang dan layanan adil melalui sistem kehakiman bagi semua individu di Malaysia perlu ditegakkan oleh Kerajaan Persekutuan PH melalui tindakan dan bukan sekadar janji retorik politik semata-mata sepertimana janji-janji manifesto PH lain yang tidak dipenuhi setakat ini.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
3 September 2018 – HARAKAHDAILY 3/9/2018