PAS persoal kenapa tarik balik pertuduhan LGE

taki3

PAS meneliti episod penarikan balik tuduhan kes rasuah terhadap Menteri Kewangan Malaysia, YB. Lim Guan Eng, oleh Peguam Negara di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini.

Advertisement

PAS akur dengan kuasa budibicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkannya memulakan, menjalankan atau menghentikan sesuatu kes jenayah di Mahkamah Sivil. Namun demikian kuasa budi bicara tersebut perlu dilaksanakan selaras dan mengikut undang-undang (must be exercised judicially and judiciously), bukannya secara membuta tuli.

Memandangkan kes rasuah yang melibatkan mantan Ketua Menteri Pulau Pinang ini merupakan suatu kes yang mempunyai kepentingan awam dan perlu dijelaskan kepada orang ramai, maka PAS menuntut Peguam Negara menjelaskan:
(i) apakah kandungan representasi Tertuduh kepada Peguam Negara;
(ii) apakah kriteria dan justifikasi kenapa kes tersebut digugurkan selepas lebih dari 20 orang saksi dipanggil;
(iii) adakah pandangan (opinion) SPRM telah diambil kira sepenuhnya;
(iv) adakah kes ini akan mengikat (binding) kes-kes lain yang mempunyai fakta yang sama dengan kes tersebut dan akan turut ditarik balik; dan
(v) Apakah kedudukan kes terdahulu yang mempunyai fakta yang sama tetapi telah disabitkan oleh mahkamah.

Memandangkan kes ini melibatkan seorang Ahli Parlimen dan juga Menteri Kabinet Persekutuan, satu Kertas Putih perlu dibentangkan dalam Parlimen akan datang bagi menjelaskan perkara ini demi memelihara dan menjaga integriti dan martabat Institusi Parlimen.

Takiyuddin Hassan
Setiausaha Agung
Bertarikh: 03 September, 2018 – HARAKAHDAILY 4/9/2018