Agamawan Dajjal perosak agama

DALAM keadaan terancang dan halus, ada agamawan yang guna agama untuk menjauhkan lagi orang kepada amalan hidup agama. Contoh:

Advertisement

Bermain dengan Maqasid Syariat

Ulamak memperkenalkan manhaj Maqasid Syariat bagi berijtihad menentukan hukum perkara-perkara yang tidak ada di zaman Nabi. Bab dadah, dihukumkan haram sama seperti minum arak kerana Maqasid pengharaman arak adalah kerana ia merosakkan akal, dan dadah juga rosak akal.

Tapi agamawan perosak agama putar belit Maqasid supaya hukum-hukum yang telah selesai zaman Nabi dirombak. Dalam bab hukuman kesalahan syarak, mereka berpendapat Maqasid Hudud adalah bagi mencapai keadilan. Sekiranya keadilan dapat dicapai tanpa Hudud, maka Hudud sudah boleh dirombak.

Melampau pada Fath Zarai’

Ulamak memperkenalkan teori Sadd Zarai’ (menutup lubang) bagi menghalang perkara haram dan mudarat berlaku. Contohnya haram jual pedang ketika dua orang sedang bergaduh, bimbang pedang digunakan untuk membunuh sesama mereka.

Tapi agamawan perosak agama mengetengahkan teori Fath Zarai’, kerana teori ini boleh mengharuskan melakukn perkara haram atas sebab tertentu. Contohnya keharusan berbohong pada keadaan tertentu. Tapi tujuan agamawan ini supaya orang awam membiasakan diri dengan perkara haram.

Sekejap Salafi, sekejap Sufi

Menjadi Syadid dan Literalis (Zahiri) dari segi Riwayah dan Dirayah ketika berhadapan dengan isu-isu ibadah. Tetapi menjadi sangat Falsafi dan Kontekstualis (Batini) bila hal-hal yang berkait dengan siasah.

Contoh dalam bab amalan ibadat sunat, terus tolak bila Hadis lemah, atau tidak ada Hadis khusus mengenainya. Tapi bila bab menjalankan hukuman jenayah, perkara bukan Hadis pun jadi hujah mereka. Hadis yang jelas dan khusus pun cuba dipertikaikan lagi atas alasan kondusif, tak kena Waqi’ dan macam-macam.

Ruhama pada Kafir, Asyidda’ sesama Muslim

Sentiasa berpersepsi buruk terhadap sesama Islam dan orang soleh tetapi sentiasa berpersepsi baik kepada orang Kafir dan Fasiq.

Contohnya sangat suka mendedahkan keburukan asatizah, ada sahaja isu melibatkan agamawan terus diviralkan seolah semua agamawan sebegitu. Tapi bila bab geng LGBT, geng tak jaga solat, sentiasa dibela seperti LGBT perlu dilayan baik, tak solat tak semestinya jahat, dan sebagainya.

Sengaja saya sebutkan mengenai agamawan jahat, kerana tahukah anda, Dajjal juga adalah seorang agamawan. Dia akan mengajak kepada Islam, tapi Islam versi Sekular. Versi yang tidak asli dan makin menjauhkan orang dari tuhan. Sabda Rasulullah S.A.W:

الدجال ليس به خفاء يجيء من قبل المشرق فيدعو إلى الدين فيتبع ويظهر، فلا يزال حتى يقدم الكوفة فيظهر الدين ويعمل به فيتبع ويحث على ذلك…الخ

“Dajjal tiada syak lagi, akan muncul dari Timur. Mengajak pada agama lalu diikuti dan berkembang. Terus begitu hingga dia sampai ke Kufah, mempamerkan agama dan beramal dengannya lalu diikuti dan dia menyarankan demikian..”

[HR Thabrani]

24 Zulhijjah 1439
4 September 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 4/9/2018