Hukum sebatan Lesbian

BISMILLAH. Semalam, 3 September 2018, di Negeri Terengganu, telah menyaksikan satu sejarah baharu yang dilaksanakan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Terengganu iaitu hukuman sebat terhadap pesalah Lesbian yang dibuat secara terbuka. Ia dihadiri oleh kira-kira 100 orang awam bagi melihat sendiri bagaimana ia dijalankan. Tahniah kepada pengurusan Mahkamah Syariah Terengganu yang melangkah, membuka era baharu bagi menangani jenayah syariah.

Advertisement

Sejarah kepada hukuman sebat sebegini telah berlaku semenjak dahulu lagi. Semenjak Rasul-rasul yang diutuskan kepada manusia sejagat. Ianya bukan sesuatu yang pelik, terutama kepada golongan agamawan, sama ada agama Islam, ataupun agama-agama lain. Mereka tahu hukuman yang dibuat di hadapan orang ramai adalah hukuman pencegahan. Ia tidak boleh dibayar dengan wang ringgit, tetapi dengan maruah mereka. Ia akan menjadi ingatan berpanjangan kepada khalayak manusia. Pernah ada sekumpulan Yahudi meminta Rasulullah mengadili kesalahan mereka. Apabila Rasulullah menyuruh mereka mengikut hukuman kitab mereka, mereka cuba menutupnya. Dan hukuman itu sebenarnya mesti dilakukan di hadapan orang ramai.

Tetapi agak pelik apabila saya melihat ramai non-Muslim cuba mencampuri urusan hal ehwal Islam dan Muslim. Kenapa mereka suka menyindir dan menghina hukuman Islam? Mereka bukan sahaja lupa tentang kontrak sosial dalam negara ini tetapi juga Perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan untuk beramal dengan agama masing-masing. Kami orang Muslim dilarang mencerca agama dan pengamalan agama lain walau sepelik mana sekalipun dan kita tidak bersetuju. Jika sikap mempertikaikan ritual yang diamalkan oleh semua penganut, nescaya ia akan mengundang perbalahan dan pertelingkahan agama yang serius dan berpanjangan. Mungkin, golongan ini mahu mencetuskan huru hara agar mereka boleh mengambil kesempatan untuk terus menguasai negeri ini? Dan adakah mungkin juga golongan ini akan mempertikaikan pengamalan dalam agama lain juga seperti Hari Thaipusam yang bagi kita jelas menyiksa tubuh badan mereka?

Dalam Islam, Rasulullah pernah memerintahkan hukuman sebat dilakukan kepada seorang wanita yang mengaku berzina setelah beberapa ketika ditangguhkan akibat wanita itu mengandung, sehinggalah pesalah itu selesai menjaga anaknya sehingga berusia enam tahun, baharulah dia dihukum. Juga terdapat Hadis yang mengisahkan adanya hukuman rejam yang dijalankan terhadap pesalah ‘Mukhsan’ iaitu pesalah zina yang telah berkahwin. Namun setelah beberapa kali direjam, akibat tidak tertahan, pesalah melarikan diri. Orang ramai yang melaksanakan hukuman rejam itu kemudiannya bertindak mengejar pesalah sambil memaki hamun. Akan tetapi Rasulullah tidak membenarkan mengejarnya dan memakinya.

Mengikut pandangan ulamak, hukuman Lesbian ini bukan terletak di bawah hukuman Hudud secara total. Walaupun ia dianggap sebagai zina, tetapi Lesbian diletakkan di bawah hukuman Takzir. Bagi memberi kefahaman yang jelas mengenai Hudud dan Takzir, secara ringkas, hukuman Hudud seperti zina lelaki dan wanita mesti disebat 100 kali. Ia tiada tawar menawar kerana itu adalah had oleh Allah, jelas dinukilkan dalam al-Quran. Manakala Takzir adalah suatu hukum yang sedikit bawah daripada Hudud, mengikut kebijaksaan Hakim, tetapi tidak boleh melampaui hukuman Hudud. Jadi apabila Lesbian diletakkan di bawah hukuman Takzir, ianya tidak boleh mencapai maksima 100 sebatan. Dan tatacara merotan juga tidak menyeksa pesalah.

Dalil bagi pelaksanaan hukuman sebegini di hadapan orang ramai, disebut dengan jelas dalam al-Quran. Hukuman ini bukan untuk menagih simpati, tetapi sebagai peringatan dan kesedaran bagi orang-orang yang melihatnya. Firman Allah:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُمْ بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman”

(an-Nur: 2)

Jelas apabila hukuman ini dijalankan di hadapan orang ramai, ia memberikan kegerunan kepada manusia. Inilah yang kita mahukan. Apabila mereka tertegah untuk melakukan dosa, maka masyarakat akan merasa selamat. Kerajaan Negeri juga amat gembira kerana keselamatan rakyat meningkat, rasa selesa dengan jaminan keselamatan. Kerajaan Negeri tidak mahu rakyat bergelumang dengan dosa. Dosa adalah menjadi suatu perkara yang sangat memalukan, sentiasa dielak untuk melakukan. Kerajaan Negeri tidak mahu bercakap mengenai hak asasi manusia sekiranya hak Allah terlebih dahulu dicabul. Mana mungkin kita mengagungkan hak hamba ketika hak tuan kepada hamba itu diinjak-injak. Suka diingatkan bahawa yang harus kita marah dan benci ialah perbuatan dosa itu sendiri. Adapun kepada empunya badan, sama-samalah kita memohon keampunan Allah kepada mereka. Begitulah hebatnya hukuman daripada Allah. Ia sangat menggerunkan bukan sahaja pesalah, tetapi iuga penyokong-penyokong mereka.

YB USTAZ MOHD NOR HAMZAH
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,
Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu – HARAKAHDAILY 4/9/2018