Konflik kepentingan gugur tuduhan rasuah?

WAN ROHIMI

SEMALAM, 3.9.2018 – Mahkamah Tinggi Georgetown, Pulau Pinang telah melepas dan membebaskan (discharged and acquitted) YB Lim Guan Eng (LGE) dan Phang Li Koon daripada 2 pertuduhan di bawah Seksyen 23 Malaysian Anti-Corruption Commission Act 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan. Perintah pembebasan penuh tersebut dibuat oleh Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas Timbalan Pendakwaraya Datuk Masri Mohd Daud pada awal prosiding semalam, memaklumkan kepada Mahkamah bahawa Peguam Negara tidak berhajat untuk meneruskan pendakwaan terhadap LGE dan Phang serta memohon menarik balik pertuduhan di bawah Seksyen 254(3) Kanun Tatacara Jenayah.

Advertisement

Timbalan Pendakwaraya tersebut memaklumkan kepada Mahkamah bahawa: “Pihak Pendakwaan telah menerima representasi dari kedua-dua tertuduh dan selepas membuat penelitian, pihak pendakwaan memutuskan untuk menarik balik pertuduhan-pertuduhan tersebut berdasarkan peruntukan undang-undang dibawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah untuk dilepas tanpa bebas”.

Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah bersama Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memberikan budibicara mutlak kepada Peguam Negara untuk antara lainnya memulakan pendakwaan dan menarik balik pendakwaan terhadap seseorang tertuduh.

Adalah menjadi maklumat awam bahawa Peguam Negara Tommy Thomas adalah bekas Peguam kepada LGE dalam prosiding yang sama, walaupun hanya setakat yang melibatkan prosiding menghina mahkamah (contempt proceeding) sebelum ini.

Sebulan yang lalu, pada 2.8.2018, Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Peguam Negara Tommy Thomas menarik diri dari mengendalikan atau terlibat dalam pertuduhan ke atas LGE dan Phang, dan memaklumkan bahawa kes tersebut dikendalikan oleh Peguamcara Negara (Solicitor General) Engku Nor Faizah Engku Atek dan Zauyah Be Loth Khan.

LUHAM berpandangan bahawa sekalipun Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan rasmi sedemikian, untuk menjarakkan Peguam Negara Tommy Thomas dari kes LGE, namun kenyataan tersebut tidak mampu memadamkan keresahan awam terhadap pentadbiran keadilan dalam konteks pendakwaan (dan pengguguran pendakwaan) yang dilihat masih diselubungi konflik kepentingan. Dalam keadaan Peguam Negara masih aktif mentadbir urusan harian Pejabat Peguam Negara, adalah tidak meyakinkan untuk rakyat mempercayai bahawa pegawai bawahannya termasuk Peguamcara Negara dapat membuat pertimbangan yang adil dan objektif dalam mempertimbangkan representasi dari kalangan tokoh-tokoh Kerajaan termasuk LGE.

Tambahan pula, penelitian terhadap Seksyen 376(2) Kanun Tatacar Jenayah, iaitu satu peruntukan yang memberikan kuasa kepada Peguamcara Negara untuk bertindak dan membuat keputusan selaku Pendakwaraya (Public Prosecutor), hanya boleh diaplikasi dalam 2 keadaan sahaja – iaitu in case of absence or inability to act of the Attorney General. [dalam ketiadaan dan ketidakupayaan Peguam Negara untuk menjalankan tugasnya].

Apa yang jelas, sewaktu Pejabat Peguam Negara membuat kenyataan tentang penarikan diri Tommy Thomas dari mengendalikan kes/representasi oleh LGE, Tommy Thomas masih seorang Peguam Negara yang aktif dan sihat pada kacamata undang-undang, dan dengan itu bukanlah seseorang yang berada dalam keadaan ”absence atau ”inability” sebagaimana kehendak Seksyen 376(2) Kanun Tatacara Jenayah. Oleh itu, memindahkan tanggungjawab pengendalian kes kepada Peguamcara Negara adalah bertentangan dengan undang-undang dan sukar dipertanggungjawabkan.

Dalam pada itu, LUHAM mendesak Pejabat Peguam Negara membuat kenyataan awam serta-merta untuk merungkaikan isu konflik kepentingan dengan menjawab persoalan-persoalan berikut:

(a) Apakah fakta-fakta representasi yang dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dalam melaksanakan budibicara untuk menggugurkan pendakwaan terhadap LGE?

(b) Apakah siasatan SPRM dan keterangan 25 orang saksi yang telah dipanggil tidak langsung mempunyai nilai prima facie untuk meneruskan pendakwaan sekurang-kurangnya pada peringkat kes pendakwaan?

(c) Apakah bentuk fakta-fakta baru yang mungkin ada dan telah tidak dipertimbangkan oleh pihak Pendakwaan sebelum ini?

Pada akhirnya, LUHAM mendesak Peguam Negara Malaysia Baru agar dilihat agar mengotakan janjinya untuk mempertahankan keluhuran undang-undang dan hendaklah tidak dilihat sebagai mewarisi pendakwaan terpilih (selective prosecution) Kerajaan terdahulu.

Sejahtera Bersama Islam

Wan Rohimi Wan Daud
Timbalan Pengerusi Lujnah Undang-Undang & Hak Asasi Manusia (LUHAM), PAS Pusat
4 September 2018 | 23 Zulhijjah 1439 – HARAKAHDAILY 4/9/2018