Syabas Mahkamah Tinggi Syariah T’ganu

DEWAN Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) mengucapkan tahniah kepada Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu atas keputusan yang tegas terhadap pesalah syariah yang melakukan kesalahan hubungan sejenis sesama wanita (musahaqah). Pesalah berkenaan telah pun dihukum dengan sebatan sebanyak 6 kali sebagai satu pengajaran untuk mereka dan orang Islam yang lain agar tidak melakukan lagi perbuatan itu pada masa akan datang.

Advertisement

Keputusan ini merupakan tindakan tegas pihak mahkamah yang menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu bagi mengatasi masalah salah laku syariah di negeri berkenaan.

Biarpun ia hanyalah 6 sebatan sahaja, tetapi ia merupakan permulaan yang baik kerana ia adalah kali pertama sebatan syariah dijalankan untuk kesalahan berkenaan. Secara tidak langsung ia memberi suatu permulaan kepada pelaksanaan hukum Islam secara keseluruhannya. Sebatan itu bukan bertujuan untuk mencederakan, tetapi untuk mendidik dan memberi pengajaran.

Islam mempunyai pelbagai pendekatan untuk menangani kesalahan seperti ini; bermula dengan dakwah, nasihat yang baik, amaran dan akhirnya tindakan yang tegas melalui undang-undang. Pendekatan berlembut secara nasihat mempunyai hadnya yang tertentu kerana apabila ia tidak lagi didengari, apatah lagi apabila perlakuan itu dilakukan secara terbuka, maka tindakan perlu dilakukan.

DUPNS menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa tidak wajar kawalan agama dilakukan secara undang-undang, hanya menerusi nasihat dan dakwah sahaja. Pernyataan ini bertentangan dengan hukum Islam yang mempunyai sistem kehakiman yang merupakan salah satu aspek yang penting dalam sistem perundangan Islam.

USTAZ RIZUAN RAHMAT
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
4 September 2018  -HARAKAHDAILY 4/9/2018