Hukuman sebat cara Islam

SEBAT merupakan salah satu dari bentuk hukuman yang diperuntukkan bagi kesalahan Hudud dan Takzir. Terdapat beberapa syarat yang telah ditetapkan oleh syarak, demi memastikan hukuman sebat mencapai Maqasid pelaksanaannya.

Advertisement

Jildah

Allah telah menyatakan hukuman sebat dengan perkataan ‘Jildah’. Secara literalnya, ia bermaksud kulit. Bermaksud rasa sakit hukuman sebat mestilah hanya singgah sekadar ke kulit sahaja. Tidak boleh lebih dari itu sehingga mencederakan kulit, mengoyakkan daging, apatah lagi sampai ke tulang. Dalam erti kata yang lain, sebatan dalam Islam tidak melukakan.

Kesihatan pesalah

Walaupun secara asas, apabila tersabitnya kesalahan maka hukuman sebat perlu segera dilaksanakan. Namun, majoriti fuqaha menjelaskan jika pesalah itu mengalami masalah kesihatan, maka pelaksanaan hukuman perlu ditangguhkan. Dalam hal ini, khidmat doktor diperlukan untuk menilai.

Diriwayatkan bahawa Saidina Ali pernah menangguhkan hukuman sebat ke atas wanita yang sedang mengalami nifas.

Bukan bertujuan menyeksa

Terdapat Hadis riwayat Abu Daud, bahawa Nabi pernah diadukan masalah pesalah yang dianggap tidak mampu menanggung hukuman sebat kerana pesalah tersebut sedang sakit dan terlalu kurus. Bimbang jika disebat, menyakiti tulangnya.

Lantas Nabi menyuruh Sahabat memberkas 100 tangkai tamar yang halus lalu disebat dengan sekali sebat sahaja. Dengan satu das sebatan tersebut menyamai 100 sebat. Apa yang dilakukan oleh Nabi itu menterjemahkan sifat rahmat yang ada dalam hukuman Islam.

Begitu juga Saidina Umar pernah memberkas tangkai yang menyamai bilangan hukuman sebat, lalu disebat dengan sekali sebat sahaja ke atas pesalah yang sakit.

Saidina Umar juga pernah berpesan kepada tukang sebat agar jangan menghayunkan tangan sehingga menampakkan ketiak.

Had bahagian sebatan

Para ulamak bersepakat bahawa sebatan tidak boleh dikenakan ke atas satu bahagian sahaja. Ia mestilah diluaskan ke bahagian-bahagian lain agar pesalah yang dihukum tidak mengalami kecederaan.

Saidina Ali berpesan, elakkan sebat bahagian muka dan kemaluan. Imam Syafie menggariskan secara spesifik bahawa bahagian muka, kemaluan, rusuk serta bahagian-bahagian lain yang boleh mendatangkan risiko maut adalah dilarang untuk disebat.

Mendidik

Pelaksanaan hukuman sebat mestilah dibuat secara terbuka dalam keadaan yang redup. Tidak boleh ketika cuaca terlalu panas atau terlalu sejuk. Kita perlu sedar bahawa pesalah yang dijatuhkan hukuman memperolehi keampunan dari Allah. Bahkan dengan sebab pelaksanaan yang dijalankan di khalayak ramai, mendatangkan kesan keinsafan kepada masyarakat.

Penonton yang menyaksikan hukuman tersebut pula perlu didisiplinkan dengan tertib beradab. Mereka dilarang sama sekali mengejek atau menunjuk sebarang reaksi menghina.

Proses pendidikan inilah yang cukup dikhuatirkan oleh segelintir golongan. Antaranya dari penganut-penganut Liberal. Barangkali mereka bimbang masyarakat insaf, maka gagallah agenda mereka merosakkan masyarakat selama ini.

ABDUL MU’IZZ MUHAMMAD
Ketua Urusan Ulamak
PAS Kawasan Klang
5 September 2018 – HARAKAHDAILY 5/9/2018

FB IMG 1536131209591