Menteri Pendidikan tidak wajar jadi Presiden UIAM

TINDAKAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melantik Dr Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam tersebut dilihat sebagai langkah undur ke belakang dan mengulangi skrip kesilapan kerajaan BN terdahulu. Beliau dilantik menjadi Presiden UIAM ketujuh bagi menggantikan Tan Sri Dr Rais Yatim.

Advertisement

Imej universiti Islam yang gah dan tersohor di negara ini yang merupakan produk PNI (Penerapan Nilai Islam) sedikit tercalar apabila melantik Menteri Pendidikan sebagai Presidennya, meskipun ia pernah dipimpin oleh beberapa tokoh politik dan pemimpin negara sebelum ini.

Pelantikan Dr Maszlee telah mengundang kontroversi, ejekan maya dan bantahan banyak pihak, termasuk daripada pemimpin DAP yang menjadi sekutu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan PH gagal untuk keluar dari bayangan kerajaan BN terdahulu, mereka akan terus menyulam kesilapan bahkan lebih teruk dan membusuk. Tiada pembaharuan yang tuntas dan tak berkeupayaan menunaikan janji pada rakyat, bahkan mencetak kembali idea dan gagasan kerajaan lama.

Pelantikan Dr Maszlee Malik sebagai Presiden UIAM menjadikan beliau sebagai orang yang berkepentingan, sebagai Menteri Pendidikan dan sebagai presiden universiti.

Dalam hal ini, sepatutnya Dr Maszlee tidak terlibat dalam pentadbiran universiti dan berada dalam hirarki kampus. Meskipun kelayakan beliau sebagai mantan ahli akademik (pernah menjadi pensyarah dan memiliki PhD), namun beliau kini memegang jawatan sebagai pemimpin kerajaan serta ahli politik.

Tidak wajar seorang yang berjawatan Menteri Pendidikan, ahli politik dan menjadi Ahli Parlimen yang terlibat secara langsung dalam merangka dasar negara terlibat secara langsung dalam dunia pentadbiran universiti. Ia menggambarkan bahawa Menteri Pendidikan tidak memberi kepercayaan terhadap pentadbiran universiti sedia ada bagi merangka dan bergerak sendiri dengan pentadbiran mereka.

Ketika PH berkokok mahu memperjuangkan nasib universiti tempatan dan membebaskan universiti dari cengkaman politik kepartian, serta mahu membebaskan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU), kehadiran beliau sebagai pemimpin universiti tidak mencerminkan langkah tersebut.

Bahkan, ia sebagai gugatan kepada pelajar, pensyarah dan kakitangan universiti untuk bersikap bebas mengkritik kerajaan dan menyertai mana-mana parti parti politik. Beliau seperti memberi mesej bahawa mata dan telinganya sentiasa mendengar dan memerhati mana-mana suara lantang sehingga mewujudkan budaya takut, tidak telus dan berani kalangan warga universiti.

Sebagai Menteri Pendidikan, terlalu banyak agenda yang perlu beliau fokuskan bagi mengupayakan sektor penting negara ini, termasuk mengembalikan kegemilangan akademik negara terutama kedudukan universiti tempatan agar setaraf dengan universiti terbaik dunia.

Tumpuan beliau tidak hanya ditumpahkan pada satu-satu universiti, malah seluruh institusi pendidikan termasuk sekolah perlu diberi perhatian supaya tidak ada pihak yang tercicir dalam aspek pendidikan berkualiti. Beliau perlu tekun merangka dasar pendidikan negara, menaik taraf mana-mana sekolah ketinggalan, jurang pendidikan antara wilayah dan etnik, menyelesaikan masalah sistem pembelajaran, bebanan guru dan warga pendidik, meningkatkan kualiti akademik universiti seluruh negara, membantu kalangan mereka yang terbeban dengan hutang PTPTN dan lain-lain lagi. Dengan menjadi Presiden UIAM, sudah pasti fokusnya akan berkurang dan komitmen beliau semakin bertambah.

Oleh itu, demi maruah dan kedudukan beliau sebagai Menteri Pendidikan, sebagai pemimpin kerajaan Malaysia yang berintegriti, ahli politik yang telus, komited dan amanah dengan tugas dan tanggung jawab, beliau perlu menyahut suara yang mengkritik beliau dengan meletakkan jawatan sebagai Presiden UIAM. Presiden UIAM perlu diserahkan kepada yang ahlinya dan berada dalam dunianya, sementara beliau boleh terus membantu dan memantau dari jauh UIAM tanpa gangguan. –HARAKAHDAILY 5/9/2018

Penulis adalah Jawatankuasa PAS Pusat dan Pengerusi LESTARI.