Sebatan syariah: Hukuman Islam lebih realistik

alias hamid

ISU hukuman sebatan terhadap pesalah lesbian oleh Mahkamah Syariah Kuala Terengganu masih menjadi bualan ramai pihak. Ia tidak kurang lebih turut mendapat kecaman sebahagian golongan yang berlindung di bawah nama hak asasi manusia yang masih menganggap hukuman tersebut tidak wajar dilaksanakan.

Advertisement

Namun, pelaksanaan hukuman enam kali sebatan tersebut menjawab sebahagian besar kecaman dan penyelewengan yang dihamburkan terhadap hukuman perundangan Islam. Bentuk sebatan yang dikenakan jauh lebih berperikemanusiaan dan bertujuan mendidik para pesalah supaya kembali ke pangkal jalan, berbanding sebatan sivil yang menyakitkan.

Malangnya, sebahagian pihak masih berterusan menuduh hukuman tersebut sebagai kejam. Pertikaian mereka bertitik tolak daripada dua aspek; pertama, ke atas kesalahan seksual lesbian dan sebagainya yang dianggap tidak menghormati kehidupan privasi golongan LGBT dan kedua, ke atas bentuk hukuman sebatan yang dianggap ‘barbaric’ dan bertentangan dengan perjanjian antarabangsa khususnya Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights – UDHR).

Sewajarnya mereka membandingkan bentuk sebatan syariah dan sivil sebelum memproklamir hukuman sebatan syariah tersebut sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ia suatu bentuk tohmahan yang tidak dapat diterima oleh akal yang waras.

Tambahan pula, Islam juga sangat menghormati maruah seseorang, tetapi adalah tidak tepat untuk menghujahkan sebatan di hadapan khalayak sebagai sesuatu tindakan untuk menjatuhkan maruah si pesalah. Ia perlu dilihat sebagai langkah untuk memberikan keinsafan serta sebagai cegah rintang (deterrence) kepada pihak lain supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Pihak yang berterusan menggunakan hujah hukuman sebatan tersebut sebagai bertentangan dengan perjanjian antarabangsa (international treaties) seperti UDHR dan sebagainya seharusnya lebih teliti dalam memberikan pandangan. Kita mempunyai undang-undang domestik yang terpakai ke atas setiap rakyat di negara ini dan tidak diikat oleh sebarang perjanjian antarabangsa.

Perbahasan ini turut ditekankan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid dalam beberapa penulisan beliau. Amat tidak wajar dibanding-banding undang-undang domestik yang lebih mengikat dengan undang-undang atau perjanjian di peringkat antarabangsa.

Justeru, kejayaan awal perlaksanaan hukuman sebat ini seharusnya membuka mata mengenai keadilan serta hukuman yang lebih membumi bagi menyedarkan si pesalah dan masyarakat lain amnya. Jelas ia satu langkah memastikan perundangan Islam semakin realistik di negara ini dalam usaha mengekang sebarang jenayah yang bertentangan dengan sifat insani. – HARAKAHDAILY 5/9/2018

Penulis ialah Ahli Parlimen Kemaman.