Kelantan miskin: Dakwaan Tun M disangkal

KUALA LUMPUR: Kelantan yang berada di bawah pemerintahan PAS seringkali diberi layanan dan gambaran buruk oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baik semasa beliau mengetuai BN, mahupun kini PH.

Advertisement

Terbaharu, dakwaan Tun M bahawa Kelantan negeri yang miskin dan tidak mampu mentadbir tanpa bantuan Kerajaan Persekutuan, bagaimanapun disangkal Ahli Dewan Negara, Senator Ustazah Asmak Husin.

Tegas beliau, sebagai sebuah kerajaan, kepentingan rakyat menjadi keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan dengan mengurus tekanan dan cabaran tersendiri untuk terus mengekal dan meningkatkan pencapaian pentadbiran.

Bagi menjelaskan sinikal dan tuduhan tidak berasas itu, beliau mengemukakan data dan fakta dikeluarkan agensi kerajaan sendiri semasa berucap Menjunjung Kasih Titah Yang Di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Negara di Parlimen, di sini kelmarin dahulu.

“Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia yang dibentangkan dalam sidang Dun Kelantan, pendapatan penengah telah meningkat sebanyak 6.6 peratus setahun daripada 45.85 peratus pada tahun 2014 kepada 52.28 peratus pada tahun 2016.

“Purata pendapatan rakyat Kelantan sekarang juga telah meningkat sebanyak 6.2 peratus setahun daripada 61.41 peratus pada tahun 2014 kepada 69.58 peratus pada tahun 2016. Isu kemiskinan pula telah berkurang daripada 0.6 peratus pada tahun 2014 kepada 0.4 peratus pada tahun 2016.

“Sebagai sebuah kerajaan, kami tidak sekadar bersikap ‘divisive’ tetapi kami memandang serius segala teguran dan tuduhan dan kami akan ambil sebagai sempadan buat kami bagi memperbaiki pentadbiran sedia ada.

“Saya juga mengharapkan hubungan ‘Government to Government‘ (G2G) akan berlangsung dalam semangat federalism yang baik dalam pemerintahan kerajaan yang baru,” ujarnya mengharap amalan sebelum ini tidak diikuti oleh kerajaan sekarang. – HARAKAHDAILY 6/9/2018