Hakikat sebuah wala’

SETELAH dijelaskan bagaimanakah beza antara wala’ dan taat yang mana secara pokoknya taat merupakan salah satu di antara komponen kecil yang membentuk wala’, pada siri ini kita membincangkan mengenai konsep sebenar wala’ dari perspektif nas agama.

Advertisement

Sebagaimana dijelaskan pada siri lepas, wala’ membawa maksud kesetiaan. Timbul pula persoalan, setia kepada siapa dan apa? Bagi menjawabnya, rujuk Firman Allah S.W.T:

إِنَّمَا وَلِيُّكُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَالَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ يُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَهُمْ رَاكِعُونَ

“Sesungguhnya tempat kamu berwala’ hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah).”

[al-Ma’idah: 55]

Wala’ kepada tiga pihak 

Menurut ayat di atas, tiga pihak yang perlu diberikan wala’:

1.     Allah

2.     Rasul

3.     Orang-orang beriman

Wala’ kepada Allah adalah dengan meletakkan segala matlamat hidup adalah kepada-Nya. Setia kepada Allah dengan mengikut segala ketetapan-Nya, dan sanggup berjuang mempertahankan agama-Nya.

Wala’ kepada Rasul juga meletakkan kesetiaan kepada Baginda S.A.W sebagai kekasih Allah dan penyampai wahyu tuhan kepada kita. Bukan kerana batang tubuhnya, tetapi kerana risalah agama yang dibawanya.

Wala’ kepada orang Islam pula diperhalusi dengan tiga kriteria iaitu:

1.     Solat

2.     Zakat

3.     Rukuk

Ketiga perkara ini adalah simbolik. Solat bermakna mereka yang menitikberatkan ibadat kepada tuhan. Zakat pula bermakna mereka yang bertanggungjawab sesama Islam. Manakala rukuk adalah lambang kepatuhan kepada semua perintah tuhan.

Wala’ bukan hanya kepada pemimpin  

Pada poin inilah dapat dilihat jelas perbezaan antara wala’ dan taat. Taat diberikan kepada Allah, Rasul dan Waliyyu Amr (pemimpin), manakala wala’ adalah bagi Allah, Rasul dan orang beriman. Bermakna wala’ bukan hanya untuk pemimpin, tetapi untuk semua orang beriman.

Memberi kesetiaan kepada orang beriman adalah dengan menganggap mereka semua adalah saudara kita yang perlu dikasihi, dibantu, dilindungi dan dihargai tidak kira siapa pun mereka selagi memiliki tiga ciri yang digariskan.

Secara ringkas, wala’ memberi maksud bahawa setiap tindakan yang ingin dilakukan oleh seseorang haruslah bermatlamatkan menjaga kepentingan Allah, Rasul dan orang beriman. Ketiga-tiga ini adalah segala-galanya bagi pewala’. Tidak boleh sekali-kali menggadaikan kepentingan ini demi kepentingan-kepentingan lain. Barulah layak untuk digelar sebagai wali.

Pemimpin juga perlu berwala’ 

Dari sudut yang lain, masalah wala’ tidak hanya boleh berlaku kepada ahli bawahan sahaja. Ia juga boleh berlaku kepada pucuk pimpinan. Jika sebarang keputusan dibuat atas dasar kepentingan kumpulan lain yang tidak memperjuangkan Islam sehingga mengenepikan kepentingan gerakan Islam, ataupun menggubal polisi atas dasar menjaga kepentingan individu, maka tindakan ini turut dikira tidak wala’.

Perkara ini disebut oleh Allah S.W.T dalam ayat yang banyak. Antara firman-Nya:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمْ أَوْلِيَاءَ تُلْقُونَ إِلَيْهِمْ بِالْمَوَدَّةِ

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu menjadikan musuhKu dan musuh kamu sebagai tempat berwala’, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang Mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka.”

[al-Mumtahana: 1]

Sebab turun ayat ini adalah berkaitan kisah Hatib bin Abi Baltaah yang ingin membocorkan rahsia gerakan Islam yang mahu menyerang Musyrikin di Makkah. Walaupun Hatib melakukan hanya kerana kepentingan keluarganya di sana, Allah tetap menegur dengan isu wala’ kerana tindakannya membelakangkan kepentingan agenda gerakan Islam kerana kepentingan individual.

Taat tidak semestinya wala’

Oleh kerana ini juga, mereka yang berada di dalam gerakan Islam tetapi memiliki cita-cita peribadi tersendiri, yang mencari matlamat lain selain matlamat perjuangan Islam sendiri, turut dikira termasuk dalam golongan yang tidak wala’, walaupun mereka tidak pernah melanggar disiplin gerakan dan sangat patuh kepada arahan dan peraturan. Seperti yang dipertegaskan pada siri pertama, seorang yang taat tidak semestinya wala’.

Dari sudut berbeza, seorang yang dilihat melakukan perkara yang bercanggah dengan arahan mana-mana pimpinan tidak semestinya mereka tidak wala’ kepada Allah, Rasul dan gerakan Islam. Melanggar arahan yang bercanggah dengan syarak, ataupun yang bukan di bawah bidang kuasa pemberi arahan juga adalah tanda wala’ yang tidak berbelah bahagi, jika tindakan mereka adalah demi Allah, Rasul dan gerakan Islam.

Nabi S.A.W pernah menugaskan seorang Sahabat memimpin pasukan tentera dalam satu misi. Dalam misi tersebut, Sahabat yang dilantik itu telah menyalakan unggun api lalu memerintahkan mereka masuk ke dalam api tersebut. Sebahagian Sahabat mahu masuk atas dasar taat, tetapi sebahagian yang lain menghalang dengan berkata: “kenapa perlu masuk? Bukankah kita selama ini lari dari api (neraka)?”

Perkara ini dibawa kepada Rasulullah S.A.W. Lalu Baginda bersabda:

لو دخلوها لم يزالوا فيها إلى يوم القيامة، لا طاعة في المعصية، إنما الطاعة في المعروف.

“Jika kamu masuk ke dalamnya, nescaya kamu akan kekal di dalamnya sehingga kiamat. Tidak ada ketaatan dalam perkara maksiat. Sesungguhnya ketaatan hanya dalam perkara kebaikan.”

[HR Bukhari]

Intima’ Syakhsi pembunuh wala’

Dalam sejarah PAS, telah muncul ramai individu yang mempergunakan kesetiaan ahli kepada gerakan ini untuk kepentingan diri mereka. Ahli yang asalnya menyertai PAS kerana kesedaran Islam, atas kejahilan diri secara tidak sedar tertipu dengan individu ini yang menjadi pemimpin mereka di mana-mana peringkat. Akhirnya apabila wala’ sudah berjaya diseleweng hasil manipulasi konsep taat, terbentuklah jemaah dan kartel dalam jemaah.

Modus operandi individu sebegini adalah bersifat stereotype sejak zaman berzaman. Malah modus operandi sama jugalah digunakan oleh pengasas ajaran sesat dan pendeta-pendeta Kristian bagi memesongkan pengikut Nabi Isa dari Islam yang sebenar. Antaranya membentuk kekaguman terhadap watak peribadi mereka di kalangan pengikut, menjadikan diri mereka rujukan utama dalam segala perkara, melarang pengikut membicarakan persoalan kritikal dan ilmiah berat, menyingkir pengikut yang kritis, menggesa pengikut menumpukan amal lebih daripada ilmu, dan sangat menganjurkan ahli menjadi taat tanpa belah bahagi.

Kesimpulannya, kesempurnaan wala’ menuntut kepada dua perkara: 

1.     Ilmu yang mendalam supaya mampu menilai semua arahan dan keputusan jemaah agar tidak bercanggah dengan syarak dan tidak menjadi Intima’ Syakhsi.

2.     Keikhlasan yang tinggi supaya segala tindakan yang diambil tidak memiliki niat selain kepentingan menjaga agama Allah dan mengharapkan redha-Nya.

Wallahualam. Akan bersambung dengan siri tiga, manifestasi wala’.

10 Zulkaedah 1439
22 Julai 2018

(ALANG IBN SHUKRIMUN) – HARAKAHDAILY 7/9/2018