PAS – Umno: Bakal jadikan PH kerajaan terpendek

MENARIK sekali menonton Grand Finale Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil N.32 Seri Setia anjuran PAS di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor, malam tadi, 6 September 2018, yang membariskan nama-nama besar dari PAS, tetapi juga dari Umno, MCA dan MIC.

Advertisement

Ceramah Mega bagi menyokong calon PAS, Dr Halimah Ali, pada 8 September 2018 ini menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah PAS selepas ia tersingkir dari Barisan Nasional pada tahun 1977 dahulu di mana seorang Presiden Umno berceramah di atas pentasnya.

Bersemangat sekali Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berucap di dalam Ceramah Mega ini di mana intipatinya adalah:

●     Kehadiran Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid di atas pentas itu adalah di atas permintaan beliau sendiri. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “Saya secara peribadi dan rasmi memang meminta supaya saya berceramah di Grand Finale kempen di Seri Setia ini bersama-sama dengan PAS.”

●     Keputusan PAS untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil N.49 Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018, yang menjadi titik mula kerjasama PAS dan Umno, adalah berpunca daripada kunjungan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid ke Rusila. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “Dan apabila saya bertemu dengan YB Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang di Rusila, ketika itu Setiausaha Agung turut bersama, saya sendiri menerima endorsement daripada Presiden PAS untuk kami meminta dan diterima bahawa calon PAS tidak bertanding di Sungai Kandis dan hanya calon Umno bertanding.”

●     Umno, khususnya Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid sendiri, komited untuk bekerjasama dengan PAS. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “Ini bukan retorik, ini adalah komitmen kami di dalam Umno di bawah kepimpinan baru ini, insyaAllah, sahabat-sahabat sadiqin minal PAS, insyaAllah, ini Umno baru, kita kerjasama dengan Umno, dengan PAS, dengan parti-parti pembangkang yang lain, insyaAllah.” Ini juga dinyatakan oleh beliau begini: “InsyaAllah di bawah kepimpinan rakan-rakan dan saya, ini sejarah baru, sejarah baru yang kita akan ukir antara saya dengan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Hadi Awang, antara YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan dan juga YB Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, dan juga Naib-naib Presiden, Setiausaha Agung dan kepimpinan Umno dan PAS tanpa meninggalkan rakan-rakan kita.”

●     Umno ikhlas untuk bekerjasama dengan PAS dan, bagi Umno, Pilihan Raya Kecil N.32 Seri Setia adalah Tahaluf Siyasi permulaan antara PAS dan Umno. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “Ya, kita tidak harus perbincangkan tentang soal Tahaluf di peringkat nasional, tetapi di Seri Setia ini inilah Tahaluf Siyasi permulaan di antara Umno dan PAS dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional. Jangan bercerita tentang Tahaluf di peringkat nasional, jangan bercerita dulu, saya tidak mahu sebarang spekulasi dilakukan, tetapi yakinlah, Timbalan Presiden PAS, Umno ikhlas, sebagaimana ikhlasnya PAS di Sungai Kandis. Kami amat menghargainya. Ini adalah Tahaluf yang kita terjemahkan, insyaAllah.”

●     Umno berjanji untuk bekerjasama dengan PAS lagi dalam pilihan raya – Pilihan Raya Kecil yang lain. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “InsyaAllah, jika ada pilihan raya – Pilihan Raya Kecil yang lain, dan kita tidak mendoakan ke arah itu, Timbalan Presiden PAS, this is my word as President of Umno, our commitment toward helping your candidate will be there, insyaAllah, dan kalau kami perlukan, don’t ever forget, please come to us, we work together as a team, kerana kebersamaan ini harus kita lakukan.”

●     Umno berjanji untuk bekerjasama dengan PAS di seluruh negara. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “InsyaAllah, rakan saya daripada Bagan Datuk yang ada di sini, Ustaz Misbahul Munir, kalau beliau bertanding kita akan sokong, kalau kita bertanding beliau akan sokong, insyaAllah kerjasama ini akan diterjemahkan di mana-mana di seluruh negara, insyaAllah.”

●     Umno berjanji untuk menyelesaikan segala permasalahan yang wujud antara Umno dan PAS. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “Beri peluang kepada kami untuk membuktikan, insyaAllah, kita akan buktikan sesuatu yang akhirnya kita melihat cahaya terang di seberang terowong yang selama ini gelap. Kita lakukan kristalisasi, crystallization, terhadap permasalahan yang ada. We iron out the problem, apa pun yang ada.”

●     Umno berjanji bahawa jika ada gagasan baru maka PAS juga akan dilibatkan di dalamnya. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “InsyaAllah, jika ada gagasan baru, dan kita tidak perlu bincangkan sekarang, insyaAllah, PAS adalah rakan setia Umno dan Barisan Nasional yang akan kita realisasikan. Untuk itu kita buktikan, kita buktikan di Seri Setia ini, Dr Halimah Ali diberikan kemenangan mutlak untuk menterjemahkan kerjasama erat Umno, BN dan PAS ini, insyaAllah.”

●     Umno yakin bahawa kerjasama antara Umno dan PAS akan membolehkan Putrajaya dirampas dari Pakatan Harapan. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “Yakinlah, kalau PAS sebagai parti solo dalam PRU14 yang lalu terus mempertahankan Kelantan dan terus mendapat kerajaan di Terengganu, insyaAllah, kalau PAS bekerjasama dengan Umno, insyaAllah, dalam PRU ke-15 banyak negeri lagi dan, insyaAllah, Putrajaya pun kita akan rampas semula.”

●     Umno berjanji bahawa semua pemimpin tertingginya akan hadir ke Muktamar Tahunan PAS. Ini dinyatakan oleh beliau begini: “Saya baru dapat jemputan untuk hadir ke Muktamar PAS. InsyaAllah, ana akan datang, Timbalan Presiden akan datang, Naib-naib Presiden akan datang, Setiausaha Agung Umno akan datang, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, insyaAllah, akan datang sebagai memberikan sokongan moral kepada kepimpinan PAS dan PAS keseluruhannya.”

Lebih menarik lagi, ucapan Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid ini mendapat maklum balas yang sangat positif dari Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, yang berucap kemudiannya sebagai penceramah terakhir. Paling jelas, Dato’ Tuan Ibrahim membayangkan kemungkinan kerjasama PAS-Umno akan menjadikan Kerajaan Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang paling pendek jangka hayatnya di dunia.

Ini dinyatakan oleh Dato’ Tuan Ibrahim begini: “Mungkin peristiwa yang berlaku di Terengganu akan membuka ruang supaya Mahkamah Syariah untuk duduk bersama menilai kembali dan menyelaraskan dalam kes-kes Takzir supaya hukumannya dapat diselaraskan di antara negeri-negeri yang ada. Ya, sebagaimana kita berlaku bila berlaku Seri Setia tiba-tiba saja PAS, Umno, MCA, MIC pun duduk bersama, membina suatu gelombang baru kebangkitan rakyat untuk menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan dan mungkin Kerajaan Pakatan Harapan menjadi kerajaan yang paling pendek di dunia.”

Sama-sama kita nantikan episod seterusnya sama ada sejarah akan benar-benar tercipta di mana Umno dan PAS akan benar-benar menjalinkan hubungan Tahaluf Siyasi sesama mereka dan sama ada sejarah akan benar-benar tercipta di mana Tahaluf Siyasi ini akan mampu mengalahkan Pakatan Harapan dalam PRU15. – HARAKAHDAILY 7/9/2018

FB IMG 1536296473578