Mengapa Islam Liberal itu perlu dilawan?

KERANA Islam itu satu dan tidak ada yang lain. Islam tidak perlu disandarkan kepada apa-apa entiti mahupun bentuk. Umpama Islam Hadhari, Islam Jihadi apatah lagi Islam Liberal. Bahkan Islam yang disandarkan kepada Liberal bermaksud aliran berfikir baru di kalangan umat Islam.

Advertisement

Islam Liberal tidak termasuk dalam kelompok mazhab Islam, sama ada mazhab Aqidah mahupun mazhab Feqah. Kerana semua mazhab sekalipun banyak khilaf namun tetap merujuk pada induk yang sama dan disepakati. Adapun Islam Liberal adalah pemikiran yang mengajak umat Islam merungkai takrif Islam yang telah disepakati oleh para Sarjana.

Dari dua poin di atas, hakikat sebenarnya adalah pemikiran Islam Liberal bukannya pemikiran Islam sebenar, sebaliknya pemikiran Liberal yang ditujukan kepada Islam. Tidak selayaknya kandungan perbincangan yang diambil dari Barat lalu disandarkan kepada Islam hanya semata-mata mereka mengambil takrif Islam dan dikembangkan dengan pemikiran mereka.

Istilah Islam Liberal digunapakai untuk memudahkan perbincangan, bukan bersetuju akan kelompok ini.

Bagaimana Islam Liberal bertapak?

Ia bermula daripada umat Islam yang terpengaruh dengan budaya hidup Barat dan peradaban mereka yang hegemoni dan mendominasi semua bidang kehidupan. Ditambah pula dengan lemah dan merudumnya peradaban Islam. Ia boleh dilihat kembali sebelum kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, selain daripada campur tangan asing, ia juga bermula dengan Sultan yang terkesan dengan budaya Barat yang dilihat lebih baik lalu diimport masuk ke dalam kerajaan bermula dari aspek pemakaian hinggalah kepada pentadbiran.

Melalui Sekularisasi yang dahsyat terhadap kehidupan umat, akhirnya berpindah kepada fasa yang baru iaitu me-Liberalisasikan Islam itu sendiri segala frasa yang sudah mapan di dalam Islam. Daripada fasa pakaian yang meniru Barat kepada fasa seluruhnya mengikut Barat. Dr Qardhawi pernah menyebutkan membayangkan pemikiran umat yang rosak “Apa yang datang dari Barat semuanya baik, dan apa yang datang dari Islam semuanya buruk”.

Berikut merupakan akar-akar Liberal yang sudah bertapak kukuh di Indonesia yang telah dikenalpasti dan digempur oleh sarjana Islam di sana, antaranya Dr Ugi Suharto.

i.     Sekularisasi dan Sekularisme

ii.     Pluralisme agama

iii.     Al-Quran edisi kritis

iv.     Hermeneutika (Penafsiran semula al-Quran)

v.     Feminisme

(Akan diterangkan kemudian)

Kesan menyeleweng daripada kebenaran

Saban waktu dan saban hari kita meminta dari Allah supaya diberi petunjuk daripada golongan yang dimurkai dan sesat. Ini kerana ada di kalangan kita yang tahu kebenaran, namun memilih untuk tidak mengikutnya. Akibatnya, Allah akan memesongkan hati-hatinya untuk terus tidak berjumpa jalan yang benar. Antaranya:

●     Istidraj (Dibinasakan tanpa sedar)

فَذَرْنِي وَمَنْ يُكَذِّبُ بِهَٰذَا الْحَدِيثِ ۖ سَنَسْتَدْرِجُهُمْ مِنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

 “Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.”

(al-Qalam: 44)

●     Diselewengkan hati daripada petunjuk

…. ۖ فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

“… Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik – derhaka.”

[as-Saf: 5]

●     Teraba-raba dan bingung

وَنُقَلِّبُ أَفْئِدَتَهُمْ وَأَبْصَارَهُمْ كَمَا لَمْ يُؤْمِنُوا بِهِ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَنَذَرُهُمْ فِي طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُونَ

“Dan kami palingkan hati mereka dan pemandangan mereka sebagaimana mereka telah tidak (mahu) beriman kepada (ayat-ayat Kami ketika datang kepada mereka) pada awal mulanya, dan Kami biarkan mereka meraba-raba di dalam kesesatannya dengan bingung.”

[al-An’am: 110]

Umat Islam tidak boleh memperkecilkan ilmu pemikiran dan ideologi. Ternyata musuh amat peka dengan kelemahan umat Islam yang mengabaikan aspek ini. Kita amat merasa bimbang dengan merebaknya gejala songsang LGBT di kalangan masyarakat, walhal kita perlu sedar, gejala songsang ini menular kerana berakarnya pemikiran Liberal dan budaya berfikir umat yang sudah rosak.

Moga kita terus diberikan hidayah oleh Allah dan diberi kekuatan untuk mengikutnya.

اللهم ارنا الحق هو الحق وارزقنا اتباعه

Rujukan

     Pemikiran Islam Liberal Dr Ugi Suharto 

     Tafsir al-Imam Ibnu Kathir

MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
08 September 2018 – HARAKAHDAILY 8/9/2018