Krisis integriti dalam politik di Malaysia (Siri 1)

Pengenalan

Advertisement

Mengikut Kamus Oxford, perkataan integriti berakar umbi daripada kata sifat integer yang digunapakai dalam keutuhan sesuatu bangunan. Kemudiannya, lahir pelbagai definisi integriti yang dikaitkan dengan kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip moral yang dipegang oleh seseorang atau sesuatu kelompok. Ia mula diketengahkan antaranya sebagai kualiti kejujuran dan ketinggian prinsip moral yang dipegang oleh seseorang individu.

Kamus Dewan menyatakan integriti dikaitkan dengan kejujuran. Istilah ini dikaitkan dengan tahap konsistensi antara nilai moral yang dipegang oleh seseorang yang ditunjukkan dengan tingkah laku (perbuatan atau perkataan). Dalam Bahasa Arab, istilah yang digunakan adalah an-Nazaahah (النزاهة). Dari segi Bahasa ia bermaksud menjauhi keburukan dan meninggalkan perkara Syubhat (keraguan).

Apakah sifat utama individu atau institusi yang berintegriti? 

Seseorang individu dianggap berintegriti apabila mereka sentiasa berpegang kepada prinsip moral dan beretika sama ada bersendirian atau di depan khalayak. Individu berkenaan akan sentiasa jujur kepada dirinya dan orang lain dengan sentiasa mematuhi peraturan dan Undang-undang Islam dan negara.

Dalam aspek tadbir urus dan organisasi, keruntuhan integriti berlaku apabila berbagai kepincangan moral mengambil tempat seperti amalan rasuah dan pecah amanah. Mereka akan cuba mencari peluang melakukan penyelewengan demi kepentingan peribadi.  

Dalam konteks kepimpinan, integriti menjadi teras yang sangat penting untuk dijadikan asas penilaian kepada keberkesanan barisan kepemimpinan semasa dalam apa jua situasi. Ini selaras dengan konsep “kepimpinan melalui teladan”. Seseorang pemimpin yang berintegriti bukan sahaja perlu ‘bersih’, tetapi juga perlu kelihatan ‘bersih’ pada setiap masa. Dalam sejarah peradaban manusia, terlalu banyak contoh menunjukkan kejatuhan pemimpin yang tidak berintegriti atau yang terpalit dengan isu dan skandal yang tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Dalam konteks kepimpinan dalam sesuatu organisasi, integriti pemimpin yang boleh dipersoal akan menyebabkan integriti organisasi atau kumpulan manusia yang dipimpinnya turut dipertikaikan. Pada masa yang sama, dilema dihadapi pengikut adalah sejauh mana perlunya mereka untuk terus taat dan setia kepada pemimpin yang memiliki integriti diri yang meragukan. Justeru, pemimpin sedia ada perlu sedar bahawa peranan mereka amat memberi impak kepada pengikut yang ada, kerana figura pemimpin ini dipandang bukan hanya dari kaca mata zahir pengikutnya.

Memetik kata-kata cendekiawan Albert Einstein:

“Integrity without knowledge is weak and useless, and knowledge without integrity is dangerous and dreadful…”

Isu integriti semasa 

Dalam konteks politik Malaysia, Umno didakwa mendahului parti lain dalam isu pelanggaran terhadap prinsip integriti. Sejak tahun 1990-an sebagai contoh, isu politik wang dibincangkan secara meluas dalam pelbagai wacana. Dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno (MT), wang digunakan bagi membeli undi. Isu ini didakwa berlaku sehingga terdapat ramai calon dalam pemilihan MT yang dibatalkan pencalonan kerana politik wang. Lebih malang, isu ini disebut di dada akhbar seperti ucapan Datuk Azmi Che Husain, bekas calon Umno Kedah, beliau mendakwa menerima laporan mengenai rasuah dan sedang mendapatkan maklumat dan bukti lebih terperinci.

Beliau yang menjadi wakil rakyat di Kedah pada 2008 hingga 2018 berkata, ada sogokan diberi kepada ahli parti bagi memilih calon terbabit.

“Laporan kita terima di Baling pun berlaku. Dalam pemilihan Wanita pun saya dapati berlaku. Kita tunggu perwakilan berani ke hadapan buat laporan.

“Kami akan dapatkan maklumat dan bukti berkaitan laporan lisan yang diterima. Kita tidak akan beri ruang kepada pemberi dan penerima rasuah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Ini juga berlaku di Melaka seperti laporan akhbar NST;

SEORANG ahli politik Umno di Melaka yang ditahan reman tahun lalu kerana kes rasuah membabitkan lebih RM150 juta, dijangka didakwa tidak lama lagi.

New Sunday Times (NST) melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu menyita lebih RM150 juta dalam bentuk wang tunai, kenderaan, aset dan dokumen .

Pihak SPRM dilaporkan berkata, kemerosotan kedudukan Malaysia dalam Indeks Tanggapan Rasuah (CPI) terbaru Transparency International Malaysia (TI-M) hari ini mengejutkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad pernah menyatakan, Malaysia sepatutnya berada pada kedudukan lebih baik jika tindakan agresif serta tangkapan dibuat agensi itu diambil kira.

“Bagi saya indeks pada tahun ini – kalau mengikut realiti dalam negara dan tindakan yang dah diambil oleh SPRM itu – maka sepatutnya indeks tersebut adalah berada pada kedudukan yang lebih baiklah berbanding 2016.

“Itu jangkaan saya, tapi saya tak boleh kata (kita berada) di kedudukan mana.

“Sebab itu saya katakan saya agak terkejut dengan laporan yang dikeluarkan kerana ia tak selaras dengan realiti, tindakan, pencegahan dan pendidikan yang agresif yang kita laksanakan pada tahun 2017,” kata Dzulkifli dalam sidang media di Akademi SPRM, Kuala Lumpur hari ini.

Senarai CPI terbaru meletakkan Malaysia di kedudukan setaraf dengan Negara Komunis Cuba di kedudukan ke-62 berbanding 55 pada 2016.

Penglibatan parti politik dalam kegiatan tidak berintegriti ditunjukkan oleh laporan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Paul Low mengisytiharkan di Parlimen bahawa seramai 92 pemimpin parti politik telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013-2017.

Fakta menunjukkan bahawa 71 orang daripadanya adalah daripada Barisan Nasional (BN) manakala selebihnya 21 orang dari parti komponen Pakatan Harapan (Harapan).

Dewan Pemuda PAS Pusat dalam kenyataan mereka menyebutkan:

1.     Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah CPI dilaporkan Transparency International membuktikan Kerajaan BN dan PH tidak bersungguh dalam menangani rasuah. Walaupun kajian persepsi ini tidak melibatkan tangkapan atau kes mahkamah, ia menunjukkan keyakinan rakyat terhadap belenggu ini sukar dihapuskan.

2.     Tambahan pula, ia mungkin dipengaruhi skandal-skandal yang sangat mendekati rasuah sepertimana berlaku kepada Jabatan Bekalan Air Sabah, 1MDB, Felda Global Venture, MARA, terowong dasar laut Pulau Pinang dan banyak lagi. Semuanya dikaitkan dengan pihak pemerintah BN termasuk dari blok PH.

3.     Peningkatan persepsi ini tentu juga atas kesedaran semasa rakyat, selain telah lali melihat ‘lakonan’ orang politik yang tidak telus dan cekap mengurus dana dari ribuan hingga billion ringgit. Selain itu tidak membawa kepada penyelesaian sewajarnya ke pengadilan mahkamah, menjadikan tangkapan dan siasatan bagai sandiwara. – HARAKAHDAILY 10/9/2018