Adun Tawang dianugerah Tokoh Hijratul Rasul

KOTA BHARU: Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Dato’ Hassan Mohamood, 63 dianugerah sebagai Tokoh Hijratul Rasul peringkat negeri 1440.

Advertisement

Pemilihan Adun Tawang itu mengambil kira sumbangannya memartabatkan pelaksanaan syariat Islam di Kelantan.

Antara sumbangannya menyediakan kenderaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheik) di setiap jajahan ketika berkhidmat sebagai Exco. Beliau juga antara pencetus kewujudan Skuad Amru bagi membantu Bahagian Penguatkuasa Undang-undang Syariah dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda bidang Usuluddin dari Universiti Islam Imam Muhammad Saud, Riyadh itu juga pernah dilantik Pegawai Agama Majlis Fatwa Kerajaan Arab Saudi.

Tokoh Saudara Baru pula dianugerah kepada Pandak Busu, 78 yang merupakan Orang Asli suku kaum Temiar dari Pos Tuel, Gua Musang. Beliau menganut Islam pada 17 Julai 1997.

Beliau merupakan antara individu pertama yang memeluk agama Islam, bahkan seluruh pos berkenaan kini 100 peratus menerima Islam di bawah kepimpinannya sebagai Tok Batin.

Manakala pemilik syarikat pemaju perumahan Md Rashid Mohamad, 64 dianugerah sebagai Tokoh Usahawan Daei 1440 Hijriah.

Beliau merupakan Pengarah Urusan Pingat Harmoni Sdn Bhd, dilahirkan pada 30 Disember 1954 di Kampung Pulau Raja Tumpat.

Beliau menginfakan sebahagian hartanya terhadap perkembangan Islam khususnya di Tumpat.

Antara jasanya membina Masjid Nurul Hidayah di Mukim Gerong serta mewakafkan tanah untuk pembinaan masjid serta tanah perkuburan Islam.

Mereka menerima anugerah disampaikan Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra sempena sambutan Hijratul Rasul 1440 Hijriah di Masjid Ismaili malam tadi.

Hadir sama Menteri Besar, Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob; anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan kepimpinan kerajaan negeri. – HARAKAHDAILY 11/9/2018