Muktamar DMPM sentuh isu wanita semasa

KUALA LUMPUR: Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke-58 dijadual akan dirasmikan pada 14 September oleh Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.

Advertisement

Acara majlis bermula dengan ucaptama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang akan menyentuh beberapa kandungan utama melibatkan isu semasa wanita yang berlaku pada masa kini.

Berkongsi sedikit isu kandungan isu semasa yang akan diketengahkan pada Muktamar DMPM nanti, Ustazah Nuridah berkata antara yang akan dicakna adalah kebimbangan isu-isu umat Islam khususnya wanita dan kanak-kanak.

“Banyak isu yang ingin kita ucapkan pada muktamar nanti, antaranya isu wanita dan kanak-kanak dalam kerajaan baharu pada hari ini dan isu-isu yang membimbangkang umat Islam khususnya jangan dipandang ringan. Bahkan dalam negara juga umpama keluar mulut harimau masuk mulut buaya.

“Selain itu muktamar kali ini juga kita akan membincangkan isu kebersamaan PAS bersama blok pembangkang lain untuk perlu ditangani dengan sebaiknya,” katanya kepada Harakahdaily.

Muktamar DMPM akan berlangsung di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu yang akan dihadiri oleh para perwakilan dan pemerhati dari seluruh negara.

Dijangka lebih 10,000 orang akan menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-64 bermula 14 September ini di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus. – HARAKAHDAILY 11/9/2018