Muktamar PAS kali ini himpunan bersejarah

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan Muktamar Tahunan PAS kali ini adalah himpunan bersejarah berikutan lanskap perubahan politik yang sedang berlaku dalam negara khususnya selepas peralihan kuasa berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Advertisement

Beliau menjangkakan pada Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS, usul daripada para perwakilan pemuda akan tertumpu kepada usul hala tuju PAS pasca PRU selain menyentuh isu-isu ancaman terhadap Melayu dan Islam yang semakin ketara.

“Itu antara isu yang akan difokuskan oleh perwakilan dalam muktamar kali ini, mungkin akan ada usul-usul yang menjurus ke arah itu kebersamaan dengan blok pembangkang yang lain ke arah ‘survival’ politik Melayu.

“Secara asasnya kita boleh nyatakan bahawa PAS bersetuju membuat sesuatu demi ‘survival’ politik Melayu dan kita bersedia melalui proses itu serta kita akan serahkan kepada Majlis Syura Ulamak untuk tentukan bagaimana kaedah dan caranya nanti,” katanya kepada Harakahdaily.

Beliau menjangkakan lebih seribu pemerhati dan perwakilan yang akan turut serta dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS pada 13 September bertemakan “Terus Mara”.

Ujarnya lagi, seperti kebiasaan muktamar PAS sentiasa mengalu-alukan dan menjemput semua pemerhati dari kalangan NGO, NGI dan parti-parti politik untuk turut serta mengambil bahagian dalam program himpunan tahunan PAS ini.

“Kita jemput semua parti-parti politik Melayu Islam bukan hanya terbuka kepada Umno sahaja tetapi kita jemput semua. Hingga setakat ini belum ada pengesahan lagi daripada para jemputan untuk hadir atau tidak dalam himpunan PAS nanti,” katanya.

Ustaz Khalil meletakkan harapan agar himpunan tahunan PAS ini membuahkan hasil dan natijah yang baik demi kelangsungan perjuangan PAS dalam menghadapi cabaran semasa pada hari ini. – HARAKAHDAILY 11/9/2018