Muktamar Pemuda PAS ke-59: Terus Mara

TANAH Tokku Paloh, bumi Darul Iman yang menjadi negeri paling akhir dicabut perundangan Islam di Tanah Melayu oleh British, bersimbah dengan cahaya keperakan mentari petang yang indah menyambut kehadiran perwakilan dan pemerhati ke Muktamar DPPM kali ke-59, sebagaimana segarnya ukhuwwah dan persahabatan dalam jamaah Islam ini. Dengan langkah dan derapan bergaya pimpinan Dewan Pemuda mengiringi langkah Timbalan Presiden PAS untuk merasmikan Muktamar dan para muktamirin kelihatan teruja menngikuti ucapan tema dan ucapan perasmian.

Advertisement

Muktamar kali ke-59 ini sebagaimana biasa turut dihadiri tetamu-tetamu jemputan daripada dalam dan luar negara, termasuk ramai khalayak mencuri perhatian kepada Dr Asyraf Wajdi, Ketua Pergerakan Pemuda Umno yang turut menjadi tetamu. PAS sebagai sebuah harakatul ummah yang sentiasa berjiwa besar dan mendepangkan tangan kepada apa sahaja usaha memartabatkan Islam di tanah leluhur ini.

Muktamar Dewan Pemuda PAS semenjak keberadaannya di medan siasah dan dakwah negara ini sentiasa membuncah energi, merubah lanskap politik dalaman PAS dan menjadi penanda aras akan keberhasilan PAS di medan operasional. Dewan Pemuda bermula dengan namanya Dewan Pemuda Islam ditubuhkan pada tahun 1953, dipimpin oleh Ustaz Ahmad Badawi. Ramai kalangan aktivisnya pada dekad 50-an ialah para penggerak sekolah agama rakyat seperti Ustaz Hasan Adli, Ustaz Yunus Yatimi dan lain-lain nama besar dalam perjuangan.

Dewan Pemuda antara yang mengusahakan supaya PAS dipimpin oleh seorang sosok besar perjuangan dan maestro politik iaitu Dr Burhanudin al-Helmi. Ustaz Hasan Adli pada tahun 1956, mengusahakan agar Dr Burhanudin menjadi tonggak utama PAS. Tokoh besar yang berdoktorat daripada Universiti Aligagh India ini bukan kepalang jasanya kepada perjuangan ummah, pernah mendekam dalam penjara British pada pada tahun 1935, 1937 dan pada tahun 1950. Malah di zaman pemerintahan Perikatan, almarhum ditahan di bawah ISA.

Dewan Pemuda dalam dekad 1970-an menjadi rakan kongsi strategik dalam pemuafakatan politik, di mana terlantiknya Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat saat itu, Dato Mustafa Ali sebagai Timbalan Menteri. ABIM dalam dekad itu sebagai rakan simbiosis yang akrab dengan Dewan Pemuda PAS, mencetak kader-kader dakwah dalam kalangan anak-anak muda.

Muktamar Dewan Pemuda PAS yang telah berlangsung di Madrasah Masriyyah Bukit Mertajam pada tahun 1982 telah meluluskan usul kepimpinan ulama. Usul penting inilah yang membentuk orientasi perjuangan PAS sehingga kini. Pemuda PAS telah melangkah gagah di pelbagai sektor, mereka memulakan rangkaian jaringan pendidikan PAS. Bermula dengan pendidikan prasekolah PASTI, merambah kepada SRITI dan SMITI, menjadikan PAS sebagai satu-satunya gerakan Islam di dunia ini yang mempunyai kitaran lengkap tarbiah nizomi.

Gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan secara munazzomah dicetuskan oleh Dewan Pemuda dengan munculnya Unit Amal yang kemudiannya dijenamakan sebagai Jabatan Amal. Pelbagai jaringan sivil, gerakan swadaya masyarakat digerakkan oleh Dewan Pemuda, yang akhirnya PAS dilihat mesra rakyat pada kacamata masyarakat awam. Di mana ada bencana dan tragedi dalam dan luar negara, maka entiti PAS terus berada di barisan paling hadapan sehingga diyakini publik.

Dewan Pemuda PAS terus menjaring dan merengkuh pelbagai sektor masyarakat untuk menyertai PAS. Antaranya dengan ARC, menjadikan kelompok anak-anak muda yang minat dalam bidang pemotoran terasa disantuni oleh harakatul ummah ini. Akademi Kepimpinan Pemuda terus mencetak kepimpinan yang kompeten dan berdaya saing, malah jentera tajnid Dewan Pemuda terus mengilang kader-kader dakwah yang istiqamah memperjuangkan Islam. Pemuda PAS juga menerokai ruang intelektual dengan mengadakan wacana, dialog, seminar untuk menguasai pasaran kelas menengah masyarakat pengundi.

Dewan Pemuda PAS yang menghampiri tujuh dekad perjuangan ini telah meninta perjuangan ini dengan catatan emas. Merekalah paling ramai mendekam dalam tahanan ISA, dibunuh, dibuang daerah serta dikucilkan oleh jentera regim penguasa. Maka jangan dirosakkan kegemilangan sejarah emas Dewan Pemuda ini dengan pemuda yang berwatak selesa, dingin intelek serta suram idea-idea baru.

Teruskan era pengukuhan jamaah ini serta usaha menarik seluruh sektor masyarakat untuk belayar dalam bahtera ini. Pemuda adalah benteng paling ampuh, dada mereka adalah perisai jamaah. Tulang belulang mereka adalah segenggam kekuatan untuk kayuhan bahtera ini menggapai kemenangan dan mardhotillah. – HARAKAHDAILY 13/9/2018

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Tetap Dewan Pemuda Malaysia, mantan Ketua Penerangan DPP Malaysia.