Perlu fahami kerangka keindahan Islam

KUALA TERENGGANU: Kecelaruan yang dihadapi oleh Islam terkini sebenarnya timbul kerana kesan daripada kekeliruan fikrah para pemimpin politik Islam, kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin.

Advertisement

Kelompok sekular, Islamis demokrat, post Islamisme, Islam inklusif dan Islam progresif yang bercantum di bawah payung Pakatan Harapan bukan sahaja gagal mengangkat kemuliaan Islam, bahkan telah gagal menterjemahkan makna Islam yang sebenar sehingga Islam yang mulia menjadi begitu dagang di mata mereka.

“Hakikatnya, para pemimpin politik itu mengalami kekaburan dalam memahami tasawur Islam yang sebenar,” katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulamak PAS Pusat ke -57 di Hotel Permai, di sini, hari ini.

Menurutnya, mereka tidak memahami Islam dari sumber al-Quran dan Sunnah, tetapi mengambil Islam dalam konotasi yang dibina oleh Barat, sedangkan Barat sangat memusuhi Islam.

“Agenda yang dimulakan oleh Barat sekian lama untuk mempengaruhi pemikiran umat Islam dengan Islam ala Amerika, kini menjadi racun yang ditelan oleh anak-anak didik mereka yang sedang memimpin politik umat.

“Kita telah beralih dari satu generasi pemimpin umat Islam yang sekular kepada generasi kepemimpinan baru umat Islam yang mendukung Islam ala Amerika,” ujarnya.

Tambahnya,, mereka melaungkan slogan Islamisasi, mereka mendakwa sebagai Islamis dan mereka bergerak seperti harakah Islam, tetapi mereka tidak membawa agenda Islam yang sebenar.

Jelasnya, kefahaman mereka terhadap Islam tidak bertepatan dengan Islam yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Tambah beliau, mereka menerima politik Islam, tetapi mereka menolak parti politik Islam.

“Mereka menerima sistem politik Islam, tetapi mereka tidak mahu melaksanakan syariat Islam. Mereka mengatakan Islam itu syumul, tetapi mereka berdalih untuk tidak melaksanakan hukum Islam.

“Mereka sebenarnya masih melihat Islam dari kaca mata sekular, dengan menghadkan Islam dalam urusan ibadat sahaja, meletakkan Islam di antara hati dan masjid, menjadikan Islam sebagai agama peribadi dan enggan menguruskan seluruh urusan dunia dengan agama Allah,” katanya. – HARAKAHDAILY 13/9/2018