Sejak 1990-an sedia pusat pendaratan gas

KOTA BHARU: Sumber kekayaan bumi Kelantan dialih ke tempat lain ketika era 1.0 pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad.

Advertisement

Gas di perairan Kelantan didaratkan ke Songkhla kemudian disalur semula ke Gurun, Kedah. Sedangkan kerajaan negeri sejak 1990-an menyediakan kawasan seluas 2,000 ekar di Pantai Senok, Bachok sebagai pusat pendaratan gas.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata, kerajaan negeri sudah menyediakan kawasan pendaratan petroleum di Bachok, namun ia tidak diusahakan pihak terbabit.

Oleh itu beliau berharap kerajaan Pakatan Harapan menimbang semula pendaratan minyak dan gas asli di lokasi terbabit.

“Rakyat Kelantan dan penduduk di sekitar kawasan berkenaan sudah tentu akan mendapat manfaatnya sekiranya projek itu dilaksanakan.

“Pada masa yang sama industri hiliran akan tumbuh dengan pesat,” katanya

ketika menyampaikan Amanat Khas sempena Tahun 1440 Hijriah, di Dewan Utama Kota Darulnaim hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad. – HARAKAHDAILY 13/9/2018