SPRM digesa siasat pengosongan kerusi PD

PUSAT Penyelidikan PAS (PPP) menggesa SPRM menyiasat tindakan bekas ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi Parlimen itu semalam. Pengosongan kerusi Parlimen tersebut telah menimbulkan kecurigaan dalam kalangan masyarakat awam, berkemungkinan terdapat unsur-unsur sogokan di sebalik perletakan jawatan ahli Parlimen itu.

Advertisement

Kemungkinan terdapatnya unsur-unsur sogokan itu timbul disebabkan beberapa petunjuk berikut iaitu:

●     Keputusan untuk mengarahkan Datuk Danyal meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen tidak dibuat secara sah oleh organisasi PKR yang berkaitan, tetapi hanya oleh segelintir pimpinan PKR yang rapat dengan calon yang bakal menggantikan Datuk Danyal.

●     Calon yang bakal menggantikan Datuk Danyal sebagai ahli Parlimen Port Dickson itu, juga diuar-uarkan bakal menjadi PM ke-8, sememangnya mempunyai rekod sabitan kes salah guna kuasa pada tahun 1999.

●     Calon yang bakal menggantikan Datuk Danyal itu juga telah dituduh oleh bekas Menteri Luar, Dato Seri Anifah Aman, cuba menyogoknya dengan jawatan dan wang supaya melompat parti membentuk kerajaan baru pada tahun 2008.

Berdasarkan petunjuk-petunjuk di atas, terdapat kemungkinan calon yang mahu mengambil tempat Datuk Danyal itu melakukan sogokan, supaya kerusi Parlimen itu dikosongkan untuk memberi laluan kepada beliau.

Sekiranya sogokan ini memang benar-benar berlaku, pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson adalah satu pengkhianatan kepada pengundi-pengundi Port Dickson, masyarakat awam dan membawa kerugian kepada negara berdasarkan alasan-alasan berikut:

●     Pengosongan kerusi tersebut dilihat telah mengkhianati mandat pengundi-pengundi Parlimen Port Dickson pada PRU ke-14 yang lalu, setelah mereka memberi sokongan yang agak besar kepada Datuk Danyal.

●     Mengadakan Pilihan Raya Kecil semata-mata untuk memenuhi kemarukan seorang ahli politik yang tidak sabar-sabar untuk menjadi PM, akan menelan kos jutaan ringgit serta menyebabkan kerugian besar dana negara.

●     Bakal calon Parlimen Port Dickson yang diuar-uarkan akan menjadi PM yang ke-8, adalah seorang yang pernah terpalit dengan kes salah guna kuasa dan kerendahan moral, pastinya amat tidak sesuai untuk menerajui negara.

Sehubungan dengan itu, PPP mendesak SPRM membuka siasatan, kemungkinan berlakunya sogokan sama ada dalam bentuk jawatan dan wang yang menyebabkan bekas ahli Parlimen Port Dickson meletakkan jawatannya.

DR MOHD ZUHDI MARZUKI
Pengarah PPP

13 September 2018
3 Muharram 1440 – HARAKAHDAILY 13/9/2018