Beri perhatian masalah mahasiswa

KUALA TERENGGANU: Kurikulum pendidikan di institusi pengajian tinggi berasaskan sistem Sekular yang mengasingkan ilmu wahyu dan juga ilmu akal telah melahirkan mahasiswa beridealogi Barat. 
 
Perwakilan Mahasiswa, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, ia menyebabkan mahasiswa memahami politik dan mempercayai solusi jangka masa pendek dari kaca mata Barat. 
 
“Mereka juga akhirnya menjadi generasi yang mengamalkan budaya hedonisma melampau. Akhirnya agenda membentuk modal insan yang patuh kepada syariat Allah gagal dilahirkan oleh universiti dalam negara kita. 
 
“Mahasiswa juga menghadapi dilema kos sara hidup. Indeks harga pengguna (IPH) menunjukkan bulan April menaik sebanyak 1.4 peratus, Mei naik 1.8 peratus. Jun, naik 0.8 peratus sahaja kerana ‘zero rated’ GST. Julai hanya naik 0.9 peratus.
 
“Keadaan tidak menentu ini sangat membimbangkan kami kerana pakar ekonomi mengatakan selepas daripada SST dilaksanakan, kos sara hidup akan menaik,” ujarnya menjangka tekanan melampau kepada mahasiswa.
 
Perkara itu diutarakannya dalam perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini hari ini.
 
Beliau turut menyentuh dilema dihadapi 2.6 juta graduan yang terjerat oleh hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di mana 663,000 langsung tidak mampu membayar langsung.
 
Menurut Faizzuddin, fakta tahun 2015 juga menyaksikan kadar pengangguran dalam negara sebanyak 3.1 peratus telah meningkat tahun 2017 kepada 3.5 peratus.
 
“Kajian di KPT pada tahun 2015 menunjukkan sebanyak 54 peratus daripada alumni universiti hanya bergaji sebanyak RM2,000 sebulan dan ke bawah,” tambahnya. -HARAKAHDAILY 14/9/2018
Advertisement