Kami golongan masih taat

“WALAUPUN 90 peratus pengundi bukan Islam mengundi PH dalam PRU14 lalu, tetapi kami di sini anggap 10 peratus sebagai yang masih taat, yang masih setia.

Advertisement

“Jadi, bagi kami, 10 peratus ini sangat penting dalam keadaan hari ini, keadaan politik hari ini sebab 90 peratus itu pun keadaan mereka tidak menentu, kita tidak tahu lagi ke arah mana mereka akan pergi, macam lalang.

“Jadi kami yakin, kami yang teguh 10 peratus ini, kami mampu tarik mereka kembali sekiranya apa-apa hal berlaku kepada PH,” demikian penegasan yang dibuat oleh Lau Chin Chua, wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kelantan.

Beliau mengulas demikian sewaktu ditanya tentang kemerosotan sokongan pengundi bukan Melayu dan Islam di sebelah Pantai Barat sewaktu PRU14 baru-baru ini.

Beliau ditemui sejurus selepas ucapan perasmian Konvensyen Nasional DHPP Kali Pertama oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu.

Menurut beliau lagi, majoriti bukan Islam dan Melayu di negara ini, tidak begitu terkesan dengan janji-janji Manifesto PH yang tidak ditunaikan kerana kebanyakan janji-janji itu melibatkan wang ringgit dan mereka mampu menangani masalah itu.

Mengenai Pilihan Raya Kecil Port Dickson pula, Cikgu Lau yang juga Pegawai Khas Menteri Besar Kelantan berpendapat bahawa ia adalah satu PRK yang tidak sepatutnya diadakan kerana boleh dianggap satu pembaziran.

“Dalam keadaan ekonomi tidak bagus, kita adakan PRK, kalau yang mati, tak apa, tapi ini yang hidup dan ini tak bagus dan saya percaya rakyat agak jemu dengan cara berpolitik begini.

“Dan saya menyeru kepada pengundi-pengundi di PD supaya bertindak dengan bijak dan tahu bagaimana menghormati prinsip demokrasi dan kita harap rakyat di PD akan memberi signal kepada kerajaan bahawa cara ini, kita tidak bersetuju,” ujarnya lagi.

Beliau turut memuji isi ucapan perasmian oleh Presiden PAS yang menekankan berkenaan sejarah perjuangan orang Islam bersama dengan bukan Islam yang pada pandangan beliau, ia adalah suatu yang baharu didedahkan oleh Presiden PAS.

Wakil daripada Selangor, Satiaseelan Subramaniam pula berkata, banyak isi kandungan ucapan perasmian Presiden PAS itu berkaitan dengan sejarah sekali gus memberikan gambaran jelas tentang Islam.

Tetapi menurut beliau lagi, kisah sejarah ini tidak seharusnya berlegar di sekeliling DHPP sahaja, ia harus disebarkan secara meluas bagi mengelakkan salah faham tentang Islam.

“Orang bukan Islam, mereka tidak berapa faham tentang apakah itu Islam.

“Macam Presiden sebut tadi, satu poin yang cukup bagus, dia kata islam lain, Melayu lain, tetapi berapa orang yang faham benda ini? Itulah persoalan saya.

“Jadi kita kena tahu apakah Melayu, apakah Islam dan juga bangsa-bangsa lain di negara kita sebab kita hidup dalam masyarakat majmuk,” terang Satiaseelan yang berasal dari Pandan, Selangor, yang turut membantah PRK Port Dickson yang sengaja dikosongkan kerusinya.

Konvensyen Nasional DHPP Kali Pertama diadakan itu turut dihadiri oleh Ketua DHPP, Balasubramaniam Nachiappan dan juga AJK-AJK DHPP Pusat yang lain sempena Muktamar PAS Pusat Ke-64 yang diadakan di Terengganu. – HARAKAHDAILY 14/9/2018 

IMG 20180914 WA0032 01