Kemuka solusi isu OTN di Sabah

KUALA TERENGGANU: Disebalik tindakan rampasan tanah dan kebakaran yang berlaku kepada banyak penempatan penduduk, hakikatnya telah mengundang kemasukan Orang Tanpa Negara (OTN) ke bumi Sabah hingga menjadi ancaman kepada kedaulatan negara.

Advertisement

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Sabah, Kasman Karate berkata, kejadian tersebut berentetan sejak tahun 1970 kesan daripada perang di Filipina yang menyebabkan banyak penduduk dari selatan negara itu lari ke Sabah.

Jelas beliau, Malaysia tidak mengiktiraf mereka itu sebagai warganegara dan tidak memiliki sebarang kelayakan, namun jumlah mereka semakin berkembang dan banyak kerana beranak pinak yang menuntut PAS memberi perhatian penyelesaian.

Isu tersebut dibangkitkannya ketika berucap membahas Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini semalam.

“Perangkaan tahun 2010 menunjukkan hampir 900,000 berada di negara kita. Jika dicampur congak, ada (sekitar) 70 peratus penduduk Sabah ini bukan warganegara,” ujar beliau.

Kasman turut berharap agar Pemuda PAS turut sama mengembleng tenaga menangani isu tanah dan kebakaran penempatan penduduk yang kerap berlaku di negeri itu, serta mengambil pendekatan dakwah terbaik sesuai waqi’ negeri Sabah. -HARAKAHDAILY 15/9/2018