Pasar kebolehupayaan menjadi Kerajaan Islam

KUALA TERENGGANU: Pemasaran kebolehupayaan PAS mentadbir perlu diperbanyakkan hingga diangkat menjadi sebenar-benar model Kerajaan Islam contoh.

Advertisement

Perwakilan Pemuda PAS Negeri Johor, Ustaz Ahmad Nawfal Mahfodz mengemukakan perkara itu dalam perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda di Muktamar Pemuda PAS Kali Ke-59 PAS, di sini hari ini.

“PAS telah berjaya meneruskan pentadbiran Kerajaan Kelantan dan mengambil semula Kerajaan Terengganu. Persoalan yang sering bermain di minda anak muda adalah mampu ke PAS ini? PAS boleh ke? Dan sebagainya.

“Persoalan tersebut tidak akan terjawab hanya dengan memenangi PRU. Sahabat Pemuda boleh pakat bantu Kerajaan PAS Terengganu untuk terlebih dahulu menjadikan Kerajaan PAS Kelantan sebagai Kerajaan Islam yang dicontohi.

“Ini bermakna Terengganulah yang akan merintis jalan kepada kerajaan yang lain untuk mencontohi Kerajaan Islam PAS di Kelantan. Dan seterusnya memberi keyakinan kepada masyarakat umum.

“Kelemahan menguasai bidang pemasaran menyebabkan PAS sering disalah ertikan kesan dari kuasa viral yang mengulangi persepsi yang buruk terhadap perjuangan Islam.

“Pemuda PAS bukan sahaja perlu dilihat dengan lebih Islam, tetapi ia perlu diterjemah sehingga mengakari segala aspek sentuhan budaya anak muda,” utara beliau.

Menurutnya, Pemuda PAS harus terkehadapan dan memimpin agar PAS mempunyai arus tersendiri sehingga lebih ramai bersetuju dan bersedia hanya Islam sebagai penyelesaian. – HARAKAHDAILY 14/9/2018