PH jangan kemaruk kuasa, lupa tanggungjawab

KUALA TERENGGANU: Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada parti itu kerana telah berjaya merampas semula Terengganu daripada kerajaan BN pada PRU14 lalu.

Advertisement

Ketuanya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh turut mengucapkan tahniah kepada PAS Kelantan kerana telah berjaya mengekalkan kerajaan di negeri itu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptamanya di Muktamar Tahunan Dewan Muslimat PAS Malaysia Ke-58 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.

Jelas Nuridah, fenomena kebangkitan dan keberanian rakyat menukar pemerintahan Kerajaan Pusat dan beberapa kerajaan negeri telah dialami oleh PAS dengan jayanya.

Katanya, dengan kemenangan berkenaan tercipta sejarah baru kerajaan Umno dan BN menjadi pembangkang di beberapa buah negeri dan Pusat.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan kerajaan PH menjaga keharmonian dalam kepelbagaian itu dikekalkan.

Tambahnya, jangan kerana alpa disebabkan kemaruk kuasa, lupa tanggungjawab dan membelakangkan syiar Islam. – HARAKAHDAILY 14/9/2018