Tingkat pengurusan, itqan laksana tugas

KUALA TERENGGANU: Disebalik kematangan dan kejayaan, Pemuda PAS diingat tidak bersikap selesa dengan pencapaian diperolehi, sebaliknya perlu terus mengemaskinikan pengurusan sedia ada. 
 
Perwakilan Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Harun Esa berkata, kesempurnaan pengurusan pentadbiran akan meneguhkan satu-satu organisasi tersebut dan menjadi bertambah baik semua peringkat.
 
Jelas beliau, kaedah pengurusan dikeluarkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia mestilah dipraktikkan di semua peringkat tanpa mendiam atau mengabaikannya.
 
Perkara itu dinyatakannya dalam perbahasan Ucaptama Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini hari ini.
 
Terangnya juga, tindakan itu adalah sebahagian dalam melaksanakan amanah kepimpinan dan tidak sepatutnya kemenangan yang diraih memunculkan lebih banyak masalah.
 
“Antara menjadi masalah kepada kita bila berhadapan dengan sistem atau pengurusan, maka timbul berbagai kelemahan di peringkat kepimpinan pemuda. 
 
“Jika dengan majikan kita, jika dengan urusan kerajaan dan lain-lain agensi, kita mampu berdisiplin mengurus secara teratur walaupun sistemnya cukup ‘complicated’. 
 
“Kita nak berkahwin, mampu mengatur begitu baik sehingga tidak tertinggal walaupun satu tuntutan daripada pejabat agama. Tapi apabila berurus dengan agama Allah S.W.T, kelemahan tidak diaudit, tidak dinilai.
 
“Menyebabkan kita lalai. Kita lupa yang menilai kerja buat kita adalah Allah S.W.T,” ujarnya mengajak muhasabah.
 
Beliau turut menyentuh pengurusan terhadap rakyat yang mesti dilaksanakan bersungguh-sungguh agar ia menerbitkan keyakinan terhadap perjuangan PAS.
 
Kerana tegasnya, perjuangan PAS juga perjuangan PAS juga untuk menjaga rakyat, bukannya menjaga batang tubuh atau periuk nasi sendiri.
 
“Jika pengurusan kita gagal, maka kita akan berhadapan dengan rakyat yang akan menuduh kita, yang akan meninggalkan kita, meninggalkan urusan agama Allah S.W.T. 
 
“Ini satu kelemahan, orang ini yang ingin membawa membela kami. Pengurusan yang gagal. Kita insyaAllah bekerja dengan itqan fil amal, ketekunan dalam bekerja yang merupakan perkara yang dituntut oleh agama Allah S.W.T.
 
“Maka sifat malas, bekerja sambil lewa adalah dilarang sama sekali. Itqan lakukan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh,” seru beliau. -HARAKAHDAILY 14/9/2018
Advertisement