Cabaran: PAS istiqamah dengan Islam

KUALA NERUS: PAS menghadapi cabaran kerana terus beristiqamah untuk menyelamatkan masyarakat dengan Islam, menghadapi penganut Islam yang tenggelam di dalam kejahilan beragama dan kalangan bukan Islam yang tenggelam dalam kekeliruan dan fitnah ‘Islamofobia’.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, masyarakat kini meletakkan masalah diri dan menjadikan isi perutnya sebagai keutamaan (aulawiyyat).

Kata beliau, petunjuk agama dan akal hanya sampingan, kerana cengkaman kejahilan agama, tertumpu keutamaan kepada kepentingan kebendaan seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan dan keselamatan jasad yang berkiblatkan hidup duniawi sahaja.

Maka tidak mudah bagi PAS bersama Islamnya secara terbuka, tanpa kepimpinan yang bercirikan Islam, kerana banyak cabaran dan halangan dalam perjuangannya.

“Kita menyaksikan betapa kalangan yang tidak berjati diri dalam PAS, tiba-tiba terjun melarikan diri kerana sukarnya beristiqamah bersama Islam secara terbuka dan nyata, lalu memilih jalan pintas yang disangkanya mudah sampai ke destinasinya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-64, hari ini..

Walaupun tambah beliau, PAS berjaya memecah tembok kejahilan dengan penambahan ahli baru dalam kalangan penganut Islam dan juga kalangan bukan Islam bersama PAS, sehingga ditubuhkan sayap penting iaitu DHPP, namun belum mencukupi.

Ini, katanya dibuktikan oleh keputusan PRU14, apabila parti sekular dan pragmatik mendapat sokongan majoriti bukan Islam, bersama pengundi baru yang tidak matang dan tidak celik politik Islamnya.

Tambah beliau, lebih mencabar apabila suara-suara sumbang yang mencabar institusi agama, istana, dan hak bumiputera, serta gerakan yang memperjuangkan fahaman liberal, mazhab yang menyeleweng dan hubungan sejenis dilihat semakin berani menzahirkan diri dan bergerak bebas tanpa pengawalan.

“Kesemua cabaran ini menuntut kepada kita untuk melipat-gandakan persediaan dan tindakan secara berstrategi dan kita meletakkan keyakinan bahawa kemenangan yang dijanjikan Allah merupakan kurniaan kepada mereka yang ikhlas dan sabar dalam perjuangannya,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 15/9/2018