Kerjasama musuh tradisi solidariti pembangkang

KUALA NERUS: PAS menegaskan kerjasama taawun dengan musuh tradisiadalah sebagai solidariti pembangkang bertujuan menguatkan suara pembangkang di Dewan Undangan Negeri dan parlimen sebagai semak dan imbang terhadap kuasa dan dasar kerajaan.

Advertisement

Penegasan tersebut disampaikan oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan pada perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, hari ini.

Menurut beliau, seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) silih berganti di Selangor baru-baru ini, Seri Setia, Balakong dan Sungai Kandis sedikit sebanyak telah membuka jalan kepada kerjasama taawun yang lebih rapat antara kedua-dua belah pihak.

“Walaupun kita tidak berjaya dalam ketiga-tiga PRK tersebut namun, sikap keterbukaan kedua-dua pihak atau semua pihak maka sedikit sebanyak membuka jalan kepada kerjasama atas taawun yang lebih rapat dalam perkara-perkara kebaikan di masa akan datang.

“Bagi saya sekali lagi, sebagaimana budaya politik matang dan sejahtera di mana kematangan dan pendekatan kesejahteraan dalam berpolitik mengkehendaki kita berusaha mendahulukan titik persamaan selain bersikap fleksible terhadap perbezaan yang wujud,” ucapnya.

Beliau menjelaskan, dalam hal ini juga PAS komited kepada usaha membentuk barisan pembangkang dengan semua parti pembangkang kalau sekiranya ia berperanan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan yang berada di parlimen dan dewan undangan negeri.

“Bagi kita politik huyung hayang penuh retorik dan jika diperhatikan kerajan pusat yang ada setakat ini sangat memerlukan suara pembangkang yang kuat bagi memastikan kemahslahatan hidup rakyat dalam perkarangan negara tidak terlalu terkesan oleh kecelaruan dasar dan tindakan yang terhasil dari sikap dan amalan politik yang sedemikian,” katanya.

Beliau merupakan Pengarah Muktamar merakamkan ucapan setinggi penghargaan atas kehadiran para tetamu terhormat dalam dan luar negara antaranya dengan rombongan kunjungan julung kalinya dari Umno yang diketuai oleh Presiden Umno, Dato Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selain itu Timbalan Presiden MIC Dato’ Seri SK Devamany, Naib Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Dato’ Seri Mohamad Badri Abdul Rahman dan ramai lagi. – HARAKAHDAILY 15/9/2018