Memimpin sokongan rakyat

KUALA NERUS: PAS menggalas perjuangan Islam yang besar dan luas, menghadapi kumpulan lain di kalangan umat Islam dan juga bukan Islam. Semua umat manusia dalam masyarakat majmuk adalah saudara yang wajib diselamatkan bersama Islam.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, para ulama membahagikan mereka semuanya dalam skop umat Nabi Muhammad S.A.W yang wajib dipimpin bersama Islam, terbahagi kepada ‘Ummah Ijabah’ yang telah menganut Islam dan ‘Ummah Dakwah’ yang tidak menganut Islam tetapi diajak bersama Islam.

Menurut beliau, PAS menerusi Lajnah Penerangan dan Lajnah Dakwah, mestilah digerakkan sepenuhnya untuk membawa mesej dakwah ke dalam masyarakat Islam secara berkesan untuk menjelaskan kekeliruan yang ditimbulkan, dengan kefahaman Islam yang sebenar.

Katanya, untuk masyarakat bukan Islam pula semua jentera parti mestilah mendekati dan memberikan penjelasan supaya rakan-rakan kita memahami mesej yang kita bawa dan dalam masa yang sama kita juga memahami keperluan rakan-rakan kita.

“Untuk itu, DHPP adalah jambatan penting menghubungkan kita dalam masyarakat majmuk, dan menjalin hubungan dengan parti komponen BN untuk mendekati rakan-rakan daripada kaum lain,” katanya pada ucapan dasar Muktamar Tahunan PAS kali ke64 di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini.

Menurut beliau, penumpuan khusus untuk mengukuhkan tapak PAS di Sabah dan Sarawak secara intensif perlu dilakukan, terutamanya dalam aspek dakwah yang subur, diikuti pemantapan tarbiyah bagi memperkukuh kefahaman ahli dan persediaan untuk berdepan dengan suasana politik baharu tanpa BN di Borneo, demi menjaga survival kepimpinan Islam.

Di samping itu tegas beliau, permasalahan di kalangan rakyat desa dengan tahap pendapatan yang rendah, sama ada petani, peneroka Felda, penoreh getah, nelayan, peniaga kecil, kakitangan sokongan dan seumpamanya mesti terus didekati oleh PAS.

Ini kerana katanya, bagi membawa suara mereka seterusnya mengangkat peranan segmen ini sebagai penyumbang utama ekonomi negara.

Beliau berkata, semua isu yang melanda masyarakat peneroka dan rakyat desa, menuntut supaya PAS melipat gandakan usaha untuk membela dan membantu golongan ini, seterusnya menjadi penghubung dengan institusi yang dipertanggungjawabkan untuk membela nasib rakyat, seperti Felda, MARA dan PNB.

“PAS juga menyarankan agar dibangunkan industri hiliran dan kaedah pemasaran yang dapat membantu meningkatkan tahap ekonomi mereka,” katanya.

Di samping itu tambah beliau, peluang pendidikan, khidmat kesihatan, dan peluang pekerjaan adalah perkara yang perlu diutamakan kepada generasi muda dan juga rakyat awam yang terjejas di luar sana.

PAS akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat, menerusi lajnah-lajnah dan dewan-dewan di semua peringkat. – HARAKAHDAILY 15/9/2018