Mujahid Siber PAS: Murni fikrah sanggah fitnah

nasrudin2

CABARAN media baru melewati pelbagai saluran dan jaringan siber adalah suatu yang sangat dirasai oleh PAS khasnya detik menghadapi PRU14 yang lalu.

Advertisement

Media baru bukan sahaja menjadi saluran untuk sebaran maklumat berguna tetapi sangat terdedah kepada salah guna oleh petualang siber untuk menebar fitnah dan menyemarakkan budaya rendah moral dengan penggunaan bahasa kesat, lucah dan kasar.

Lambakan akaun palsu, petualang siber yang berselindung di sebalik nama samaran dan juga penguasaan pengganas siber telah mencemarkan budaya dan peradaban di alam siber. Sedang ia adalah lapangan popular untuk masyarakat siber berlabuh dan memunggah maklumat.

Akhirnya nilai dan tahap indek maklumat bersih di negara kita merosot teruk. Sukar membezakan antara fitnah dan berita. Lebih malang apabila fitnah dikunyah lahap tanpa mereka menyedari bahawa ia adalah racun yang melumpuhkan minda untuk berfikir dengan harmoni.

Justeru minda hanya boleh dijana secara positif, sihat dan harmoni jika maklumat yang diproses adalah maklumat yang benar. Malah ia berpotensi melahirkan fikrah yang jernih.

Mujahid Siber PAS ditubuhkan untuk berpencak di alam siber. Memurnikan fikrah dari keserabutan yang dicipta oleh petualang dan menyanggah fitnah yang disebarkan oleh pengganas siber.

Lantaran itu, Mujahid Siber PAS mestilah menjadi pendekar dan pejuang yang berani, rajin, tangkas, berilmu, berakhlak dan berjiwa besar dalam menghadapi cabaran, halangan serta tentangan dari pengganas siber yang sering mensasarkan gerakan Islam (PAS).

Peranan Mujahid Siber PAS membekalkan ilmu dan maklumat bermanafaat serta menangkis fitnah sekali gus membasmi kejahilan di alam siber juga merupakan satu jihad Islami yang menjanjikan pahala besar daripada Allah SWT.

Tentu sahaja pengorbanan tinggi sangat dituntut dari Mujahid Siber PAS. Khasnya pengorbanan masa, usaha dan perasaan untuk keluar dari sempadan bumi nyata lalu memasuki galaksi siber bagi tujuan memurnikan fikrah Islamiyyah dan menyanggah fitnah.

PAS sangat mengharapkan komitmen tinggi dari Skuad Mujahid Siber PAS dari seluruh negara untuk bangkit memperjuangkan Islam dan mempertahankannya. Meskipun tiada upahan material yang lumayan.

Mujahid Siber PAS adalah pasukan sukarelawan yang berkhidmat dan berjuang atas semangat jihad Fi Sabilillah. Mengharapkan redha Allah SWT dan ganjaran lumayan daripada-Nya jua.

Islam Memimpin

Nasrudin Hassan
Komander Mujahid Siber PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/9/2018