PAS jadi platform bekas pemimpin Umno

pc

KUALA NERUS: Kerjasama PAS dengan parti-parti lain bukan perkara pertama bahkan ketika negara baru mencapai kemerdekaan, kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Katanya, PAS pernah menyokong akta ISA bagi mengekang gerakan subversif dan komunis dan sokongan diberi dengan mengingatkan ISA tidak disalah guna.

Malah, kata beliau selepas peristiwa 13 Mei untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat, PAS pernah menyertai kerjasama campuran dengan syarat-syarat yang ditetapkan yang tidak bercanggah dengan dasar dan matlamat perjuangan PAS.

Beliau berkata, Umno yang ketika itu diketuai oleh almarhum Tun Abdul Razak menerima syarat yang dikemuka PAS.

“Umno terima masa itu masa zaman arwah Tun Abdul Razak dan kita masuk. Kita terlibat dalam penubuhan Barisan Nasional, Perikatan dibubarkan, dibubar Perikatan dan tubuh Barisan Nasional dan PAS salah satu komponen dalam Barisan Nasional.

“Dan kita berjaya dalam melakukan penyedaran kefahaman kita di kementerian-kementerian jabatan kerajaan, pusat pengajian tinggi, kesannya sehingga berlangsung apabila kita berjaya menukar pegawai-pegawai zaman British yang bersara tukar kepada pegawai-pegawai baru yang sempat bersama dengan kita dalam masa 70-an Barisan Nasional, yang itu pernah,” jelasnya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS kali ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjelaskan mengenai ucapan dasar Presiden PAS berhubung kesediaan parti itu menjalinkan hubungan dengan mana-mana parti.

Jelasnya lagi, PAS menjadi platform menyelamat ahli-ahli Umno yang dipecat daripada parti itu, antaranya Tun Dr Mahathir di mana pentas PAS menjadi tempat ceramahnya di Kapar pada tahun 1969.

“Bahkan kita menerima mana-mana ahli Umno yang dipecat supaya tidak disambar jerung termasuklah Tun Mahathir yang dipecat oleh Tunku, di mana pentas PAS menjadi tempat ceramah Tun Mahathir di Kapar, Selangor tahun 69.

“Berikutnya ialah Tengku Razaleigh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang dipecat, PAS menjadi platform untuk menyelamatkan mereka yang dipecat ini supaya kita tidak kehilangan pemimpin-pemimpin dan mereka boleh menyambung nafas, menyambung talian hayat balik melalui pentas kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/9/2018