Tajdidkan diri seiring ijtihad semasa PAS

KUALA TERENGGANU: Sunnatut Tajdid akan sentiasa berlaku kepada manusia di mana Allah S.W.T melahirkan silih berganti para mujaddid daripada kalangan individu atau jamaah untuk melakukan perubahan ke atas umat.
 
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, PAS merupakan gerakan tajdid yang antara natijahnya lahir di sana ijtihad-ijtihad sesuai perubahan masa dan keadaan melibatkan perkara mutaghayyirat.
 
Perlu kita fahami dan merancang bagaimana untuk menghadapi cabaran-cabaran yang begitu ini sejak dari PAS ditubuhkan. Namun alhamdulillah, PAS terus mara sebagai sebuah jemaah Islam yang ditubuhkan di atas asas kesedaran, bukan di atas asas tak puas hati ataupun oleh musuh-musuh Islam.
 
“Rahsianya ialah kerana dasar Islam yang kita perjuangkan dan kita akan terus mara mendepani cabaran-cabaran yang berlaku pada hari ini sama ada kita syahid bertemu dengan Allah ataupun kita panjang umur melihat kemenangan Islam di tanah air kita yang tercinta ini,” ujarnya dalam Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan Pemuda PAS Kali Ke-59 di Duyong Marina & Resort, di sini semalam.
 
Katanya, PAS antara jamaah yang banyak melakukan ijtihad-ijtihad khususnya dalam perkara berkait dengan politik, contohnya memulakan keahlian orang bukan Islam di dalam parti Islam dan tahaluf siyasi dengan parti-parti bukan Islam.
 
Manakala hari ini ujarnya, pimpinan melakukan satu ijtihad berkenaan ta’awun siyasi melalui proses perbincangan oleh Majlis Syura Ulamak selaku Ahlul Ikhtisas yang mahir dalam ilmu Bahasa Arab dan ilmu-ilmu kunci seperti Usulul Fiqh, Mustalah al-Hadis dan lain-lain lagi.
 
Malah tegasnya, ia dibincang dengan melihat waqi’ semasa yang memerlukan PAS untuk melakukan ijtihad-ijtihad baru dalam politik yang menuntut ahli memberi wala’ kepada jamaah dicintai ini lebih-lebih lagi ia bukan ‘dibincang di kedai kopi’.  
 
“Walaupun begitu, kita mengiktiraf demokrasi. Pada hari ini banyak kali ucapan-ucapan yang telah kita dengar berkait dengan wala’ dan taat. Tapi kita membuka perbincangan, perbahasan untuk kita mendengar segala hujah dan pandangan daripada ahli-ahli di bawah. Ini beza PAS dengan parti-parti politik lain.
 
“Mereka ikut demokrasi, beriman dengan demokrasi. Kita ikut demokrasi, kita tidak beriman dengan demokrasi. Kita memberikan pandangan masing-masing. Inilah syura yang wujud di dalam PAS yang tidak ada kepada parti-parti lain,” ujarnya.
 
Kerana menurut beliau yang juga Adun Batu Buruk, adanya ‘Haikal’ di dalam jamaah PAS khususnya Majlis Syura Ulamak di mana akan terus menjaga jamaah ini agar terpelihara dan terjaga dengan dasar Islam yang diperjuangkan.
 
Setelah itu terangnya, diserahkan kepada Majlis Syura Ulamak untuk melihat strategi terbaik bagi mendepani cabaran-cabaran politik yang berlaku hari ini termasuk pendekatan dengan parti-parti politik lain termasuk kalangan musuh atau bekas musuh dengan penuh kebijaksanaan.
 
“Kita bermusuh dengan dasar Umno, perkaumannya, Sekularismanya. Tetapi kita tidak bermusuh dengan ahli-ahli Umno, mereka adalah mad‘u-mad‘u kita. Kita semua umpama doktor-doktor. Kita bermusuh dengan penyakit yang ada kepada pesakit, tetapi kita tidak bermusuh dengan pesakit-pesakit kita.
 
“Sudah tentulah bila kita bercakap orang-orang Melayu ahli Umno, kita perlu kategorikan mereka. Ahli-ahli Umno ini ada yang minat agama, ada nasionalis. Setengah itu pergi masjid rajin daripada kita lagi. Ada yang Oportunis, ada yang Liberal,” jelas beliau.
 
Tambah beliau, jamaah terus melakukan ijtihad politik ini dengan tujuan politik dakwah kerana sasaran PAS ialah rakyat Malaysia secara keseluruhannya, sekali gus menjadi tanggungjawab dan kewajipan dilaksanakan di kawasan masing-masing.
 
Paling penting serunya, ahli PAS perlu mengenali musuh Islam yang sebenar dan mengakui bahawa kekuasaan adalah milik Allah di mana disaksikan Umno akhirnya tersungkur setelah 60 tahun dan tidak mustahil juga PH akan mengalami perkara sama kurang 5 tahun.
 
“Penilaian-penilaian melalui Feqah Muwazanah dan Feqah  Aulawiyat, mudharat mana yang besar, yang kecil, yang mana patut diutamakan. Perkara ini kita boleh bincang. Tetapi Ahlul Ikhtisas kita ada Majlis Syura Ulamak untuk menilai.
 
“Justeru yakinlah kita berada di atas jamaah yang betul untuk memimpin kita bagi mendepani cabaran-cabaran yang sangat hebat ini,” katanya menancap keteguhan.
 
Dalam mengisi kemenangan, Ustaz Khalil mengajak untuk melihat hikmah Allah S.W.T membahagikan perjuangan Nabi S.A.W kepada fatrah Makkiyah dan Madaniyyah melibatkan perjuangan untuk mencapai dan  mempertahankan kemenangan, termasuk kewujudan orang munafik serta cabaran kuasa-kuasa besar.
 
Oleh itu, Pemuda PAS harapnya, memahami ketegasan terhadap prinsip-prinsip Islam yang diperjuangkan, bukan sahaja berdepan dengan musuh dalam negara tetapi juga musuh-musuh Islam di seluruh dunia pada hari ini.
 
Beliau mengemukakan contoh isu LGBT dan sebatan kepada pesalah Lesbian di Mahkamah Syariah Negeri Terengganu yang mendapat perhatian media-media antarabangsa seperti BBC, The Guardian dan lain-lain lagi.
 
Hal itu jelasnya, menunjukkan rangkaian musuh sangat luas dan perlu didepani, namun Pemuda PAS wajib meyakini bahawa Islam ini pasti akan diberikan kemenangan oleh Allah sebagaimana kisah Rasulullah dengan Suraqah bin Malik.
 
“Maka di atas keyakinan inilah kita nyatakan dan kita ulang, kita pertegaskan bahawa Islam yang diperjuangkan oleh PAS ini insyaAllah akan diberikan kemenangan oleh Allah di tanah air kita ini insyaAllah,” ujarnya menutup bicara dengan penghargaan kepada seluruh yang menjayakan muktamar. -HARAKAHDAILY 15/9/2018
Advertisement