Ucapan Dasar: Setuju Islam mesti diutamakan

KUALA TERENGGANU: Ucapan Dasar Presiden telah memberikan perangsang kepada ahli PAS khususnya dalam menjayakan misi mendaulatkan Daulah Islamiyah.
Perwakilan PAS Kawasan Kemaman, Amri Mamat berkata, di mana jalan terbaik yang akan diambil ialah secara matang dan sejahtera tanpa mengira kawan atau lawan.
“(Menunjukkan) Kita tetap istiqamah dengan dasar kita, insya-Allah kita akan laksanakan arahan Presiden sehingga PRU akan datang.
“Saya yakin dengan pelbagai isu yang berlaku, PAS akan terus ke hadapan dengan meletakkan Islam sebagai rujukan yang utama.
“(Kita akan hadap) pelbagai masalah yang berlaku dalam negara kita sama ada oleh kerajaan dahulu atau sekarang (dengan prinsip ini),” demikian pandangannya.
Menurut Amri, dengan sikap berbaik yang ditunjukkan kepada lawan, PAS akan mendapat kelebihan ditambah pula contoh dari negeri Kelantan dan Terengganu, bagi menambat hati rakyat.
Beliau turut menyentuh penekanan Presiden bahawa PAS boleh berbaik dengan sesiapa sahaja asalkan mereka mematuhi kehendak PAS yang berteraskan Islam.
Sementara itu, Perwakilan PAS Kawasan Kota Belud, Ustaz Mustaqim Aling secara peribadi berkata, sudah terdapat satu keputusan berkaitan beberapa isu yang sedang melanda sekarang ini, tetapi pastinya perlu dibahaskan.
“Keadaan sekarang sudah berubah, dahulu musuh, sekarang sudah seperti menjadi kawan, dan pastinya keputusan muktamar, akan dipatuhi dan ditunaikan dengan sebaiknya.
“Isu ini masih belum matang, walaupun mungkin pimpinan sudah mempunyai ‘stand’ mereka, tetapi ia perlu dicanai oleh perwakilan yang bijak pandai.
“Kita mencari titik persamaan bagi isu ini dan sudah pastinya Islam mesti diletakkan pada tempatnya dan Melayu yang sebagai kekuatan tambahan bagi Islam,” terang beliau.
Beliau juga berpendapat hampir keseluruhan ucapan dasar itu baik dan mengandaikan perbahasan nanti juga akan menjadi menarik. -HARAKAHDAILY 15/9/2018
 
Advertisement